Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir menunjukkan dokumen perjanjian yang telah ditandatanganinya.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Agensi Nuklear Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini memeterai satu penjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam pelaksanaan dua projek penyelidikan berasaskan sawit menggunakan teknologi sinaran dan projek-projek lain yang berpotensi pada masa akan datang.

MoU yang dimeterai ini merupakan langkah permulaan dan akan bertindak sebagai payung bagi kerjasama pelaksanaan projek penyelidikan di antara MPOB dan Agensi Nuklear Malaysia.

Projek pertama adalah penyelidikan bersama dalam poliol sawit dan bio-poliol poliester untuk penghasilan penyerakan poliuretana akrilat berasaskan air untuk penghasilan bahan salutan termaju menggunakan teknologi sinaran.

Projek kedua adalah penyelidikan bersama dalam poliol sawit dan bio-poliol poliester untuk penghasilan resin fotopolimer untuk penghasilan pencetakan perancah 3D untuk kejuruteraan tisu dalam aplikasi biomedik menggunakan teknologi sinaran.

Bagi projek-projek lain yang berpotensi, kedua-dua pihak akan menjalankan penyelidikan dalam bidang bersesuaian yang pada masa akan datang setelah dipersetujui bersama.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB mempunyai teknologi dan kepakaran untuk menghasilkan poliol berasaskan sawit dan bio-poliol poliester.

”Poliol yang dihasilkan adalah sesuai untuk penghasilan bahan salutan termaju daripada penyerakan poliuretana berasaskan air dan pencetakan perancah 3D untuk kejuruteraan tisu dalam aplikasi biomedik. Agensi Nuklear Malaysia pula mempunyai kepakaran dalam bidang penyelidikan dan penggunaan teknologi sinaran serta mempunyai teknologi pencetakan perancah 3D,” kata beliau di Majlis Pemeteraian MoU itu di sini hari ini.

Menurut Ahmad Parveez, secara khususnya, MoU itu akan menambahkan kemahiran dan ilmu pengetahuan Pegawai Penyelidik MPOB untuk pembangunan lestari industri sawit dengan menggunakan teknologi sinaran.

“Ia juga merupakan penerokaan baharu untuk poliol sawit dan bio-poliol poliester bagi penghasilan bahan salutan termaju daripada penyerakan poliuretana berasaskan air dan produk pencetakan perancah 3D kejuruteraan tisu dalam aplikasi biomedik dengan menggunakan teknologi sinaran.

Produk yang akan dihasilkan adalah lebih mesra alam. Ia juga membuka peluang pengkomersialan bagi produk berasaskan sawit yang menggunakan teknologi
sinaran,” ujar beliau.

Ahmad Parveez berkata, kerjasama dua agensi melalui MoU yang dimeterai tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan dapat berkongsi kepakaran dalam penghasilan bahan termaju berasaskan sawit menggunakan teknologi sinaran.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Ts. Dr. Siti A’iasah Hashim berkata, beliau berharap kepakaran penyelidik kedua-dua agensi dan juga kemudahan serta makmal kedua-dua pihak dapat digunakan untuk menjayakan kerjasama tersebut.

“Keadaan semasa negara yang sedang berusaha menangani pandemik Covid-19 diharap tidak akan menjejaskan dan menyebabkan aktiviti yang dirancang akan
tertangguh dan objektif projek yang telah ditetapkan dapat dicapai sepenuhnya,” tambah Siti A’iasah.

Siti A’iasah juga berharap hasil kerjasama penyelidikan dapat mencetuskan industri baharu yang boleh menyokong usaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah
negara berteknologi tinggi yang mapan.

Agensi Nuklear Malaysia ialah sebuah agensi penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi nuklear di Malaysia yang bervisikan sains dan teknologi nuklear untuk penjanaan ilmu, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

Agensi tersebut juga adalah peneraju kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan penggunaan teknologi nuklear untuk pembangunan lestari yang telah terzahir melalui pelbagai projek kerjasama teknikal dengan agensi-agensi tertentu. – MalaysiaGazette