Bekalan air bersih turut disediakan oleh MCM kepada mangsa-mangsa banjir.

KUALA LUMPUR – Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) membelanjakan kira-kira RM500,000 dan menggerakkan lebih 200 sukarelawan yang bekerja siang dan malam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan kritikal di empat negeri.

Kawasan terbabit ialah Hulu Langat, Sijangkang, Banting, Puchong, Shah Alam, Kota Raja, Kelang (Selangor); Bentong, Lanchang, Karak, Mentakab, Temerloh, Chenor, Kuantan (Pahang); Jelebu (Negeri Sembilan) dan Besut (Terengganu).

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, sebanyak 50 pacuan empat roda, satu van yang dijadikan klinik bergerak, satu lori dan empat bot turut digunakan untuk tujuan itu.

”Kami turut menyediakan dua jentolak, dua jengkaut dan satu lori sampah untuk menyempurnakan kerja pembersihan sisa banjir di Dusun Tua, dan Desa Nanding, Hulu Langat, Selangor.

“Selain itu, kami juga membekalkan kira-kira 500,000 liter air bersih melalui lori tangki dan dua mesin khas untuk memproses air sungai bagi kegunaan 2,500 keluarga di sekitar Dusun Tua yang terputus bekalan air selama tujuh hari,” katanya.

MCM turut menyediakan sumbangan lain seperti beras sebanyak 2,000 kampit, tilam (1,000), bantal (1,200) serta set kelengkapan solat iaitu telekung, kain pelikat, kain batik dan sajadah (1,000).

Selain itu dapur gas (400), gas memasak (250 tong), set tuala, sabun, berus dan ubat gigi (700), lilin dan pemetik api (200 kotak), kit ujian kendiri Covid-19 (2,000), pelitup muka (16,000) dan al-Quran (200).

Zulkifli mengucapkan setinggi penghargaan kepada orang ramai, syarikat swasta dan beberapa NGO lain yang turut memberi sumbangan dan bekerjasama dengan MCM dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Antaranya ialah Yayasan Sultanah Bahiyah, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Yayasan, Kumpulan Perangsang , Integrasi Al Huffaz, Caring Pharmacy dan Sahabat KKZ dari Singapura. – MalaysiaGazette