Foto ReuteMyanmar mencatatkan sifar jangkitan selama beberapa minggu sebelum wabak tersebut menular pada pertengahan Ogos di barat wilayah Rakhine dan seterusnya merebak ke seluruh pelosok negara.- Gambar Reuters.

YANGON- Kerajaan Myanmar membina sebuah hospital sementara di tengah bandar raya Yangoon apabila para doktor bimbang lonjakan kes jangkitan koronavirus boleh mengancam sistem kesihatan penduduk di negara itu.

Kerajaan melaporkan sebanyak 307 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Selasa, angka harian tertinggi sejak pandemik bermula Mac lalu manakala pagi tadi, sebanyak 134 kes baharu dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 3,636 dan 39 kematian.

Myanmar mencatatkan sifar jangkitan selama beberapa minggu sebelum wabak tersebut menular pada pertengahan Ogos di barat wilayah Rakhine dan seterusnya merebak ke seluruh pelosok negara.

Tiga hospital di Yangoon, kawasan mencatatkan kes tertinggi di negara itu kini telah ditukar kepada hospital khusus untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19.

Pihak kerajaan kini sedang membina sebuah hospital sementara dengan 500 katil di atas sebuah padang bola.

“Kita sudah tidak lagi mempunyai ruang untuk menempatkan pesakit disebabkan penularan besar-besaran wabak ini.

“Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya kami tidak dapat menerima pesakit. Disebabkan itu kami membina tempat ini dengan segera,” kata Ketua Hospital Sementara, Kaung Kyat Soe kepada Reuters.

Selepas berdekad-dekad di bawah pemerintahan junta tentera, sistem kesihatan Myanmar dilaporkan berada di kedudukan terburuk dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2000, kali terakhir ranking itu diterbitkan.

Bajet kesihatan juga hanyalah sekadar 0.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada permulaan reformasi demokrasi negara tersebut pada tahun 2011.- MalaysiaGazette