Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Gara-gara dokumen pengenalan diri disalahguna – empat individu bernasib malang kerana tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) hari ini.

Mereka tidak dapat berbuat demikian ekoran MyKad masing-masing didakwa telah digunakan oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab untuk mengundi hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan ketika dihubungi mengesahkan empat kes penipuan MyKad untuk pengundian itu di daerah Kuala Terengganu dan Marang.

“Kita menerima laporan empat kes membabitkan empat individu tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka diguna oleh orang lain,” katanya.

Mazli berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRN di negeri itu kali ini melibatkan 32 Dewan Undangan Negeri dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. – MalaysiaGazette