KUALA LUMPUR –  Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan denda maksimum bagi kesalahan melanggar peraturan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang disifatkan terlalu tinggi, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, individu serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menurut NCCIM, adalah tidak wajar untuk mengenakan denda bagi kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu yang mencecah RM10,000 mulai 11 Mac ini ketika mereka terbabit masih dibebani kesukaran serta masalah aliran tunai.

“Timbul kebimbangan bahawa denda sehingga RM10,000 itu sebaliknya boleh mengundang perbuatan penyelewengan, rasuah dan diskriminasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, kerajaan telah menaikkan denda bagi kesalahan melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) daripada RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu.

Selain itu, syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP juga boleh didenda sehingga RM50,000 berbanding RM10,000 sebelum ini manakala wakil syarikat yang melanggar SOP itu juga boleh didakwa di mahkamah.

NCCIM mendakwa interpretasi dan penguatkuasaan SOP yang tidak konsisten itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat awam serta perniagaan.

Menurutnya, selain meneruskan usaha mendidik rakyat untuk mematuhi SOP, kerajaan juga perlu mengemukakan kaedah pencegahan yang lebih berkesan.

“Walaupun kami akur bahawa tindakan lebih tegas dapat menangani kesalahan melanggar SOP, namun jumlah peningkatan denda itu sepatutnya terlalu ketara manakala unit-unit penguatkuasaan perlu melaksanakannya secara konsisten dan teratur.

“Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira status dan kedudukan bertanggungjawab untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. Pihak perniagaan perlu mematuhi SOP itu dengan ketat dan memastikan premis itu selamat serta bersih untuk membolehkan kakitangan kembali bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette