Keranda yang diperbuat daripada kayu serta makanan untuk bayi dikecualikan daripada cukai jualan, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy.
Subromaniam Tholasy

SHAH ALAM – Kandungan digital termasuk platform penstriman video seperti Netflix, iflix, Viu dan dimsum yang mengenakan langganan serendah RM10 sebulan bakal dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, ia hanya dikenakan cukai tersebut sekiranya Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dipinda.

Beliau berkata, pindaan itu bagi membolehkan kerajaan mengutip cukai berjumlah berbilion ringgit daripada syarikat asing yang beroperasi di Malaysia di bawah ekonomi digitial.

“Sudah semestinya Netflix dan lain-lain kandungan digital dikenakan GST sekiranya pindaan itu berjaya dilakukan di Parlimen nanti,” katanya pada sidang media pada Persidangan Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia, di Hotel Grand Bluewave, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Subromaniam berkata, cadangan pindaan itu akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen pada bulan ini.

Katanya, pengecualian GST dalam industri kandungan digital yang beroperasi di luar negara dan menghantar terus kepada pengguna Malaysia merupakan satu diskriminasi ke atas penggiat tempatan yang dikenakan cukai.

Sementara itu, Subromaniam juga berkata, jumlah kutipan GST mencerminkan perkembangan ekonomi sesebuah negara.

“Pungutan kita melambangkan perkembangan ekonomi negara, sebab itu kita perlukan GST.

“Bila masuk SST, kita akan kehilangan sumber dana besar yang menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette