Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2018.

PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas  Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas dan mahu Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkshi bertanya kerajaan sendiri berhubung isu National Feedlot Corporation (NFC).

Dalam sidang medianya hari ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menempelak tindakan Puad yang menuding jari kepadanya berhubung perkara tersebut.

Bekas Timbalan Perdana Menteri menegaskan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu jangan berdalih dan mempolitikkan perkara itu.

“Dia (Mohd. Puad) tak perlu cabar pun, masalah yang berbangkit ialah yang kita tahu siasatan mengenainya dilakukan dengan rapi oleh pihak yang berkuasa dan langsung tidak membabitkan nama saya.

“Puad Zarkashi sepatutnya tanya kenapa kerajaan tak ambil tindakan (terhadap kes itu),” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu, Mohd. Puad dalam satu kenyataan mempersoal langkah Muhyiddin yang dilihat ‘mendiamkan diri’ daripada membuat sebarang pencerahan membabitkan isu NFC.

Menurut Mohd. Puad, Muhyiddin seolah-olah tidak berani tampil membuat pencerahan mengenai isu itu yang cuba dikitar semula oleh pembangkang.

Beliau turut mendakwa Muhyiddin lebih mengiyakan pembohongan pembangkang dan mengelak untuk memalukan rakan-rakannya jika tampil membuat pencerahan isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang merupakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika kerajaan meluluskan NFC turut berkata, projek itu merupakan idea bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Bukan saya yang sepatutnya menjawab tentang kegagalan projek itu sebaliknya pihak yang diberi tanggungjawab menjalankan projek tersebut hingga menjadikan ia projek gagal,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Kenapa Muhyiddin tak beri pencerahan isu NFC?