JOHOR BAHRU – Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed akan bertemu dengan ketua-ketua cawangan bahagian itu untuk memujuk mereka menyokong calon Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) Suhaizan Kaiat pada pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Beliau akan berusaha keras untuk memujuk mereka termasuk ahli UMNO peringkat akar umbi untuk memberikan sokongan padu kepada Suhaizan sekali gus memberi kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan itu.

“UMNO ada lain budaya, kalau perlu dipujuk saya kena pujuk, ada dua minggu untuk pujuk mereka, bukan segelintir mereka tidak mahu bersama tetapi mungkin ada keberatan untuk mereka sokong.

“Namun jika kita dapat pujuk mereka untuk sokong calon PH, kita akan capai kemenangan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Taman Perling di sini pada malam tadi.

Turut Hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi DAP Johor, Liew Cin Tong; Timbalan Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini tular kain rentang yang digantung di sini tertulis ‘Kami cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon PH’.

Selain itu, Nur Jazlan mengakui masih berasa kekok dengan kerjasama politik antara dua gabungan politik tersebut menerusi Kerajaan Perpaduan hari ini termasuk berucap atas pentas PH.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut tidak mahu menggunakan slogan reformasi kerana merasakan tidak lagi relevan sebaliknya tumpu kerjasama politik dua gabungan itu untuk melakukan perubahan positif dalam negara.

“Saya tidak mahu menggunakan ayat ‘reformasi’, saya tidak mahu mendengar ia lagi. Masa untuk reformasi sudah habis. Kini adalah masanya untuk mengubah haluan negara,” katanya yang merujuk slogan reformasi yang sering dilaungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong PH.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan menggesa pengundi khususnya masyarakat Cina di Parlimen Pulai untuk keluar mengundi kerana kunci kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah kerana sokongan pengundi Cina.

“Kerusi ini nampak seperti kerusi mudah buat PH namun kemenangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah berdasarkan undi Cina tetapi kalau masyarakat Cina tidak datang undi 9 September ini, saya khuatir akan jadikan kerusi ini tergugat,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Omar pula menyelar calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya yang ingin memecahkan ‘tembok permusuhan’ yang didakwa dibawa oleh DAP.

“Kita nak kata ini politik apa? Kita tak mahu angkat perbezaan,” katanya membidas dakwaan Dr Mazri bahawa tindakan DAP yang cuba membawakan stereotaip bahawa Pas adalah ‘parti lebai’ telah mewujudkan tembok permusuhan antara orang Islam dan bukan Islam.

Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan yang merupakan bekas Speaker DUN Johor dan pernah menggalas jawatan Setiausaha Politik kepada Salahuddin akan bertemu dengan calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nur Jazlan ni bantu suka-suka atau sukarela? Parlimen Pulai tu… cukup ke Air Liur tu untuk ditelan? akarumbi UMNO dah bersiapsiaga.. tapi Nur Jazlan bersiap-siap JADI PEMBANTU… lepas PRK boleh jadi drebar pulak.

Comments are closed.