KUALA LUMPUR- Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan isterinya, Michelle akan berucap di Malaysia pada Disember ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan Obama, pasangan tersebut akan menghadiri satu pertemuan yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin seluruh Asia Pasifik.

Program tersebut adalah sejajar dengan misi Yayasan Obama yang mahu memberi inspirasi, memperkasa dan menghubungkan manusia untuk mengubah dunia.

Ia juga menunjukkan komitmen yayasan kepada rantau ini yang diyakini mempunyai ramai pemimpin-pemimpin muda yang mempunyai kemahiran luar biasa.

“Rantau Asia Pasifik memiliki pemimpin-pemimpin yang berbakat dan bersemangat.

“Ia merupakan rantau yang sangat penting kepada Presiden Obama disebabkan latar belakangnya yang kuat di Indonesia dan Hawaii,” kata Ketua Pegawai Antarabangsa Yayasan Obama, Bernadette Meehan.

Dalam program tersebut, Obama akan fokus kepada perkongsian nilai dan kepimpinan beretika.-