Husain Awang
Husain Awang

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husain Awang menggesa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) mengeluarkan kenyataan bersama dalam mengecam tindakan menghina Islam oleh banyak pihak.

Bahkan, ujar beliau, OIC boleh mempertimbangkan agar menghantar nota bantahan secara diplomatik kepada negara yang membenarkan penghinaan itu dilakukan.

Katanya, dengan tindakan tegas yang dicadangkan itu, sekurang-kurang dapat mengekang pihak tertentu yang berani bertindak sedemikian lagi selepas ini.

“Saya mengamati berita berkenaan agenda Islamofobia dan perbuatan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di Stockholm, Sabtu lalu.

“Perbuatan sama turut dilakukan Ketua Kumpulan Pelampau Belanda, Pegida Edwin Wagensveld yang mengoyakkan al-Quran ketika melakukan protes di luar Parlimen di The Hague, Belanda.

“Tindakan mereka ini mengundang reaksi ramai pihak di kalangan komuniti Islam yang mengecam perbuatan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Husain turut sependapat dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tindakan itu sewajarnya dikutuk dan dikecam, bukan saja oleh negara Islam, malah seluruh masyarakat dunia yang bertamadun serta inginkan keamanan dan keharmonian.

Jelas beliau, gelombang kebencian terhadap Islam secara terang-terangan seperti itu banyak kali timbul di media massa dalam dekad ini.

“Sebagai contoh, pada tahun 2020, sebuah majalah satira Charlie Hebdo di Perancis menyiar semula karikatur penghinaan terhadap Nabi Muhammad sempena bermula pembicaraan ke atas mereka yang dituduh terlibat dalam serangan pejabat majalah tersebut sebelum ini.

“Pada Jun 2022, jurucakap parti BJP, Nupur Sharma didakwa menghina Nabi Muhammad dan isteri Baginda, Saiditina Aishah menerusi debat televisyen.

“Pada 2019 pula, seorang Senator Australia, Fraser Anning mencetuskan kontroversi apabila menyalahkan program imigresen dan Islam sebagai punca serangan di Christchurch, New Zealand yang menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, insiden itu adalah contoh bagaimana siri penghinaan Islam terus berlaku dan lebih menyedihkan, walaupun penganut agama Islam yang dianggarkan mencapai 1.2 bilion orang ketika ini, namun, tidak banyak tindakan konkrit yang telah dibuat. – MalaysiaGazette