Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) berkata sesuatu kepada anggota polis trafik semasa hadir pada Kempen OP Selamat sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan di atas jalan raya merekodkan saman tertinggi sempena sambutan Tahun Baru Cina 2019 kali ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis telah mengeluarkan sebanyak 8, 353 saman terhadap pemandu jalan raya di ibu negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,315 saman dikeluarkan terutama enam jenis kesalahan iaitu, melanggar had laju, memandu di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memotong barisan, memotong garisan kembar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,059 saman sahaja dikeluarkan atas kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan yang kita fokuskan di Tol Sungai Besi, Bulatan Batu Caves, Tol Gombak dan juga Tol Jalan Duta dibawah Op Selamat Konsep Payung.

“Jadi, kebanyakan pemandu disaman disebabkan memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan kesalahan ini direkodkan dari 29 Januari lalu hingga petang ini.

“Mereka ini sudah pasti tidak akan diberikan diskaun 50 peratus untuk kompaun seperti sebelum ini sebab melibatkan enam kesalahan utama dan tidak akan berkompromi.

“Harap bersabar pemandu jalan ini dan patuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media khas Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina di Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Terdahulu, Mazlan hadir memantau suasana trafik dan operasi Payung yang dilaksanakan seramai 13 pegawai kanan dan 186 anggota polis di empat lokasi utama yang disasarkan sepanjang musim perayaan itu.

Tambah beliau, sebanyak 85 saman dikeluarkan untuk kesalahan memandu di lorong kecemasan, 63 buah saman untuk kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit semasa memandu (34 saman) dan memotong di garisan kembar merekodkan 27 saman.

Secara keseluruhannya, Op Selamat 14 yang memasuki hari keenam itu menyaksikan penurunan daripada segi rekod kemalangan kali ini iaitu hanya dua kemalangan maut melibatkan motosikal berbanding Op Selamat pada tahun 2018 yang menyaksikan lima penunggang motosikal maut.

“Jumlah kemalangan yang direkodkan kali ini ialah 1,140 kemalangan manakala tahun lepas sebanyak 1,367 direkodkan penurunan sebanyak 23 peratus.

“Ini menunjukkan satu perkembangan yang baik terhadap usaha penguatkuasaan kami yang juga melibatkan operasi secara memberi nasihat kepada pemandu selain mengeluarkan saman.

“Enam kesalahan utama ini tidak akan berkompromi dan akan terus ditekankan terhadap pengguna jalan raya.

“Kita mahu mereka yang meneruskan perjalanan supaya memandu secara berhemah dan tidak melanggar undang undang jalan raya sehingga menyebabkan kejadian tidak diingini,” tegas beliau.- MalaysiaGazette