ST PETERSBURG – Arab Saudi dan Rusia sedang berbincang dengan OPEC dan bukan OPEC untuk meningkatkan sekurang-kurangnya sejuta tong, menurut sumber.

Riyadh dan Moscow difahamkan sudah bersedia untuk meningkat bekalan bagi mengawal kebimbangan pengguna terhadap bekalan.

Menteri Tenaga Arab Saudi dan Rusia, Khalid al-Falih dan Alexander Novak berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara beransur-ansur.

Peningkatan pengeluaran itu akan dibuat selepas 17 bulan kawalan bekalan dilaksanakan oleh OPEC selepas harga bahan bakar itu merudum.

Langkah pengurangan bekalan oleh OPEC itu berjaya apabila harga minyak mencecah paras tertinggi sejak akhir 2014 kepada AS$80.50 setong awal bulan ini.

OPEC dan sekutu-sekutunya termasuk Rusia telah bersetuju untuk mengawal bekalan kira-kira 1.8 juta tong sehari sepanjang tahun ini bagi mengurangkan stok minyak dunia.

Bagaimanapun, inventori yang tidak terjual sudah hampir dengan sasaran OPEC.

Pada bulan April lalu, OPEC telah mengurangkan bekalan sebanyak 52 peratus lebih banyak daripada yang diperlukan.

Tetapi dengan kejatuhan dalam pengeluaran minyak di Venezuela, jumlah pengurangan sebenar yang ditetapkan oleh OPEC sebelum ini adalah lebih besar.

Sumber-sumber berkata, peningkatan pengeluaran OPEC kira-kira 1 juta tong bermakna pematuhan akan berada pada kira-kira 100 peratus, bukan melepasi tahap yang dipersetujui. – MalaysiaGazette