Ops Cantas Kuala Kedah dilakukan selama dua hari dengan 158 tangkapan keseluruhan.

ALOR SETAR – Seramai 89 individu termasuk enam yang dikehendaki polis ditahan dalam hari kedua Ops Cantas Khas di sekitar Kuala Kedah, semalam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan dalam operasi selama dua hari itu adalah seramai 158 orang termasuk 10 individu dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan.

Operasi yang bermula jam 10 pagi semalam itu membabitkan seramai 280 pegawai kanan dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Operasi itu  turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM)Kuala Kedah, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ‘Tiger Platoon’ Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara.

Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Kota Setar.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 382 individu serta memeriksa 159 rumah di kawasan Kuala Kedah.

Jelas beliau, operasi hari kedua membawa kepada tangkapan 89 individu termasuk enam dikehendaki yang mana lima daripada mereka adalah wanita.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah dan dadah.

“Selain dari tangkapan dan rampasan, sebanyak 162 kenderaan diperiksa dan 60 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952, Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Sek 135 (1) (d) Akta Kastam dan Sek 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959.

Media semalam melaporkan, empat individu yang dikehendaki polis serta 69 individu termasuk dua wanita ditahan dalam Ops Cantas Khas yang dilakukan di sekitar kawasan Kuala Kedah sejak Jumaat lalu. – MalaysiaGazette