Bendera yang dipaparkan semasa perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.

KUALA LANGAT – Tindakan memaparkan bendera kebangsaan yang salah adalah satu perkara yang sangat memalukan dan tidak melambangkan budaya Malaysia yang sebenar, kata Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata KBS akan melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pihak berkaitan.

“Tindakan KBS adalah untuk memastikan siasatan dan tindakan diambil ke atas persatuan tersebut.

” Kita perlu melalui beberapa prosedur sebelum mengambil apa-apa tindakan, ” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Reben Kuning: PEKA@MRCB di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pemaparan bendera kebangsaaan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima ketika perasmian Piala Lum Mun Chak yang dianjurkan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), semalam.

Susulan kejadian itu, MABA dalam laman webnya telah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan pencinta sukan bola keranjang di atas kesilapan berkenaan.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata beliau yakin dengan kemampuan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, kendalian Datuk Ong Kim Swee pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Katanya, walaupun Malaysia terikat 1-1 bersama Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan A itu semalam, pihaknya optimis pasukan itu akan bangkit dalam perlawanan akan datang.

“Apa yang penting pada waktu ini adalah sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Malaysia seterusnya akan menentang Filipina pada Jumaat ini, dikuti aksi menentang Timor Leste (Isnin) dan Kemboja, dua hari kemudian.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas di pentas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta. Pada edisi 2017, Malaysia merangkul pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand.

— BERNAMA

2 Komen

Comments are closed.