Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas mempunyai alasan kukuh untuk mendesak pihak tertentu mengambil tindakan mengharamkan DAP, tegas Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, sebelum ini beliau pernah mengemukakan beberapa isu kontroversi dibangkitkan oleh DAP.

“Pertama, saya telah mengemukakan bukti ucapan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, Steven Sim Chee Keong dalam forum Naratif Malaysia Baru pada 14 September di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor.

“Saya telah mendesak polis menyiasat ucapannya, “The Kingdom of God is an unstoppable mission, and the reason is simply this, God Himself will act on it, and that is our unshakebale confidence”.

“Kedua, pemimpin DAP bertaraf Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah ditangkap kerana didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE),” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Tuan Ibrahim, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga telah mengakui penahanan beberapa individu terbabit adalah berdasarkan bukti kukuh dan hasil risikan polis.

Ini, tegas beliau, menunjukkan penangkapan pemimpin DAP yang dikaitkan dengan LTTE bukan satu tindakan politik, tapi demi kepentingan negara.

“Ketiga, Kementerian Dalam Negeri pada 23 Oktober telah mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan buku komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

“Komik itu ditulis aktivis DAP, Hew Kuan Yau dan pengantarnya ditulis oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Menurut KDN, buku komik ini telah mempromosi ideologi komunisme, sosialisme, menyebarkan fakta salah, mengelirukan dan juga mempertikaikan perjuangan tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekurang-kurangnya tiga bukti yang dikemukakannya menjadi asas agenda DAP semakin bahaya kepada politik negara.

Malah, katanya, tindakan itu bercanggah dengan pembentukan asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Maka dengan ini wajarlah DAP diharamkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette