Perwakilan Wanita UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan pada 13–16 November ini dan satu hari tambahan  diperuntukkan bagi Perhimpunan Agung UMNO Khas (EGM).

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi membolehkan perlembagaan parti dipinda.

“Kita telah pun bersetuju PAU diadakan pada tarikh 13 November iaitu Rabu hingga 16 November kerana memerlukan satu hari ekstra untuk mengadakan EGM yang mana parti sekarang sedang dalam proses untuk meminda Perlembagaan parti.

“Ia untuk menyesuaikan perlembagaan parti yang mana kita ada sekarang bukan sebagai parti kerajaan, dulu kita punya Perlembagaan terlampau rigid, kita punya cadangan untuk pinda antara lainnya adalah membuka seluas-luasnya kepada orang ramai untuk menjadi ahli UMNO, untuk memberikan lebih banyak kemudahan mereka masuk sebagai ahli contohnya kita akan aktifkan kita punya keahlian UMNO-Online yang sudah dimodify dan boleh masuk dalam minggu depan.

“Banyak lagi tentang Perlembagaan terutamanya kita nak berikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada UMNO Sabah yang mana ia menggambarkan situasi politik semasa di Sabah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO petang ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut memaklumkan tarikh mesyuarat UMNO peringkat cawangan yang sedang berlangsung sekarang ini dilanjutkan sehingga ke 30 Mei depan.

“Jika dulu tempoh mengadakan mesyuarat cawangan diberikan daripada 15 Februari sampai 30 April tetapi telah dipanjangkan untuk memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada cawangan dan bahagian mengurus menyuarat-mesyuarat tersebut, dipanjangkan daripada 15 Februari kepada 30 Mei. Ini ada masa lagi.”

Katanya, ini memandangnya ada PRK Rantau dan penyertaan daripada banyak bahagian-bahagian dalam Negeri Sembilan sendiri dan juga dokongan daripada bapa-bapa angkat di seluruh negara termasuk Perhubungan UMNO Negeri juga menghantar banyak jentera dalam PRK tersebut.

Mesyuarat yang sama juga memutuskan untuk memberikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada UMNO Sabah yang mana ia menggambarkan situasi politik semasa di negeri itu.

Katanya, adalah lebih sustainable untuk jangka masa yang panjang UMNO Sabah ini diberikan status autonomi sepenuhnya agar mereka dapat urus parti di peringkat Sabah sendiri.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memaklumkan tarikh baru mesyuarat UMNO peringkat bahagian.

“Untuk memberikan banyak pemimpin-pemimpin parti turun ke peringkat bawah di mesyuarat Bahagian nanti… bagi menerangkan isu-isu semasa dan memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin di akar umbi di peringkat bahagian-bahagian, maka mesyuarat UMNO Bahagian turut dipanjangkan daripada 15 Jun sehingga 15 Ogos 2019,” katanya.- MalaysiaGazette