Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan bersidang pada 17 November dan negeri itu juga dijangka menerima Ketua Pembangkang pertama daripada Pas.
PULAU PINANG – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan bersidang pada 17 November dan negeri itu juga dijangka menerima Ketua Pembangkang pertama daripada Pas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusof dilaporkan telah menerima restu PN untuk menjadi Ketua Pembangkang.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pas Pulau Pinang bertanding buat pertama kalinya dalam pilihan raya negeri lalu dan berjaya menang di Sungai Dua selepas mengalahkan calon UMNO, Shaik Hussein Mydin.

Walaupun wakil rakyat pembangkang dilaporkan menerima arahan untuk menyokong Muhammad Fauzi sebagai Ketua Pembangkang, tetapi calon alternatifnya adalah ADUN Penaga Mohd. Yusni Mat Piah.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, sebelum ini timbul dua suara berbeza dalam PN iaitu memilih sama ada Mohd. Yusni atau Muhammad Fauzi sebagai Ketua Pembangkang.

“Mohd. Yusni telah terpilih buat kali kedua dalam pilihan raya, oleh itu Pas Pulau Pinang berpendapat beliau mempunyai pengalaman dalam DUN dan mungkin lebih layak memimpin wakil rakyat pembangkang semasa mesyuarat DUN,” kata sumber kepada akhbar itu.

Daripada 40 kerusi DUN yang ada, PH-BN berjaya menang 29 kerusi, manakala PN berjaya merampas 11 kerusi.

Daripada 11 kerusi pembangkang, tujuh adalah dimenangi oleh Pas dan empat oleh Bersatu. – MalaysiaGazette