Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) merupakan pakej berciri realistik dan dinamik berdasarkan kesinambungan pelaksanaan beberapa pakej rangsangan ekonomi negara lalu termasuk Belanjawan 2021 bagi berdepan penularan pandemik Covid-19.

Justeru itu, Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris menyifatkan langkah pengumuman semalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menerus meletakkan kelangsungan kehidupan rakyat, pemulihan ekonomi secara efektif dan kesihatan awam untuk terus kekal berdaya saing sebagai keutamaan paling tinggi negara

“Saya menaruh keyakinan dan harapan tinggi pelaksanaan PERMAI dengan sejumlah peruntukan RM15 bilion dengan 22 inisiatif mampu mengurangkan impak dan beban yang ditanggung setiap lapisan rakyat dan memberikan ketahanan serta kemapanan ekonomi negara untuk pulih semula.

“Menerusi insentif, bantuan, pemudahcara dan penambahbaikan dalam PERMAI, saya juga percaya pendekatan pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan Kabinet telah menyediakan dorongan yang betul bagi kesejahteraan rakyat dan negara. Seiring dengan hasrat Perdana Menteri itu, adalah diharapkan proses birokrasi agensi dalam sistem penyampaian perlu disifarkan bagi memastikan agihan dan bantuan boleh disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hal ini, katanya, kerajaan telah melakukan yang terbaik dan rakyat dipohon untuk melakukan yang terbaik jua untuk bersama-sama memulihkan ekonomi kendiri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya.

“Usahlah diperlekehkan niat murni kerajaan kerana apa yang diumumkan setiap pakej rangsangan ekonomi negara membawa pulangan semula kepada rakyat sendiri,” ujarnya.- MalaysiaGazette