Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Setelah membuat perjanjian bagi membekalkan 12.8 juta dos vaksin kepada Malaysia tahun hadapan, syarikat pengeluar vaksin Pfizer dan BioNTech kini telah membuat permohonan pendaftaran vaksin kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa satu permohonan telah diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 15 Disember lalu.

“NPRA telah mengenalpasti 11 pakar untuk melihat dokumen dan menilai laporan yang dimajukan,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebarang vaksin perlu didaftarkan terlebih dahulu oleh NPRA sebelum ini boleh digunakan di negara ini.

“Yang penting ia kena didaftarkan dengan NPRA. Apabila ia didaftarkan, maka baru kita benarkan vaksin itu digunakan di negara ini. Jadi itu adalah syaratnya.

“Sebaik ia didaftarkan, NPRA akan memantau keselamatan dan keberkesanan vaksin itu,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memerlukan tempoh antara 90 hingga 120 hari untuk pakar kesihatan melihat segala dokumen membabitkan kajian vaksin berkenaan.

Pada 24 November lalu Malaysia menandatangani satu perjanjian dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi mendapatkan sebanyak 12.8 juta dos untuk menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Pfizer berjanji untuk menghantar sebanyak satu juta dos bagi suku pertama 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat. – MalaysiaGazette