Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Dr Maszlee Malik diminta memberi penjelasan susulan didakwa tidak mengotakan janji untuk mengembalikan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT-Kad Siswa) dan baucar buku seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Ketiadaan dua bantuan dalam pembentangan Belanjawan 2020 jelas bercanggah dengan “janji” Menteri Pendidikan yang menyatakan komitmen beliau untuk mengembalikan semula bantuan baucer buku RM250 di hadapan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan pada 3 Mac lalu.

Susulan itu, Penolong Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli menggesa kerajaan menyemak semula agihan peruntukan dalam Belanjawan 2020 agar lebih mesra mahasiswa.

“Tiada peruntukan mahupun insentif khas yang disediakan buat golongan mahasiswa sama ada dalam bentuk Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT-Kad Siswa) mahupun bantuan dalam bentuk baucar buku.

“Berdasarkan rekod lepas, peruntukan bantuan BPPT telah dikurangkan dengan suatu jumlah yang sangat besar iaitu sebanyak RM300 juta pada 2018 kepada RM120 juta pada 2019 dan sangat mendukacitakan apabila tiada langsung peruntukan sedemikian untuk tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tegasnya, pendirian mahasiswa adalah jelas dalam isu ini kerana adalah tidak wajar mahasiswa dijadikan mangsa dalam langkah kerajaan memberikan bantuan kepada golongan lain.

Sewajarnya, kerajaan hendaklah bersifat lebih telus dan tetap memberi perhatian kepada mahasiswa yang rata-ratanya berhadapan dengan masalah kewangan yang semakin meruncing.

“Justeru, Menteri Pendidikan wajar memberi penjelasan kegagalan beliau mengotakan janji mengembalikan BPPT pada kadar RM250 pada bajet 2020,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Farhan menyifatkan langkah kerajaan menambah peruntukan di semua Universiti Awam wajar disambut baik dan diharap dapat membantu universiti awam dalam mempertingkat kualiti pengurusan, pentadbiran dan pembangunan varsiti masing-masing.

Malah, beliau menaruh harapan agar yuran di universiti tidak dinaikkan lebih-lebih lagi keadaan ekonomi negara yang belum benar-benar mapan. – MalaysiaGazette