Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan (dua kanan) bergambar bersama calon PN N.21 Dun Duyong, Datuk Kamarudin Sidek (dua kiri) dan calon PN Dun N.16 Ayer Keroh, Datuk Michael Gan (kanan) bercakap pada sidang media Perikatan Nasional Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

MELAKA TENGAH – Perikatan Nasional (PN) sudah ada calon Ketua Menteri Melaka namun gabungan parti itu mahu memfokuskan kepada kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) terlebih dahulu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan, nama calon Ketua Menteri dari PN sudah diputuskan namun ia hanya akan diumumkan pimpian tertinggi PN.

“Saya rasa kita serahkan urusan penamanan calon Ketua Menteri peringkat tertinggi kerana tak sesuai diumumkan sekarang.

“Sebenarnya perbincangan sudah berlaku dan sudah ada idea siapa yang akan dinamakan tapi lebih baik peringkat tertinggi umumkan.

“Malam ini ada sesi besar, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan (Presiden Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bercakap,” katanya dalam sidang media di pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya hari ini.

Hadir bersamanya  tiga calon PN iaitu Dr Yadzil Yaacob (DUN Bemban), Datuk Kamaruddin Sidek (DUN Duyong) dan Datuk Michael Gan (DUN Ayer Keroh).

Sehingga kini, kata Wan Saiful, gabungan PN sahaja yang masih belum memuktamadkan calon ketua menterinya tatkala Pakatan Harapan (PH) menyenaraikan calon DUN Bukit Katil, Adzly Zahari dan Datuk Sulaiman Md Ali bagi Barisan Nasional (BN).

Calon Perikatan Nasional N.21 Dun Duyong, Datuk Kamarudin Sidek bercakap pada sidang media Perikatan Nasional Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata, partinya menyasarkan tidak mustahil untuk kerajaan Melaka dibentuk secara campuran selepas 20 November depan.

“Saya rasa tidak mustahil pada 20 November ini, rakyat akan dapat menyaksikan satu kerajaan sama ada bentuk campuran atau sebagainya tetapi PN telah mula dikenali dan rakyat sedia untuk melakukan perubahan.

“Walaupun berlaku pertandingan tiga empat penjuru dan saya sendiri (DUN Duyong) enam penjuru,” katanya dalam sidang media sama. – MalaysiaGazette