KKM perlu mendapat bekalan berterusan bagi memastikan pasukan petugas hadapan kerajaan dapat meneruskan tugas mereka dalam menangani penyebaran wabak Covid-19 daripada terus meningkat.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan bekalan Pakaian Pelindung Diri (PPE) hanya mampu menampung kegunaan pasukan petugas hadapan di hospital awam untuk tempoh dua minggu sahaja lagi.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapat bekalan berterusan bagi memastikan pasukan petugas hadapan kerajaan dapat meneruskan tugas mereka dalam menangani penyebaran wabak Covid-19 daripada terus meningkat.

“Penggunaan PPE di peringkat negeri dan hospital naik daripada dua hingga 10 kali ganda berbanding keadaan normal. Kita ada perolehan PPE daripada tiga kaedah, satu adalah daripada perolehan pukal untuk semua negeri menreusi pusat, kedua perolehan di peringkat negeri dan ketiga daripada derma NGO.

“Kita gunakan PPE yang berbeza setiap hari. Berbeza dengan alat bantuan pernafasan, ada 956, tak perlu tambah lagi,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Lima hari lalu, Noor Hisham berkata, KKM tidak menghadapi kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung serta PPE.

Beliau hanya berkata masalah dihadapi KKM adalah berkaitan penghantaran ke fasiliti KKM di seluruh negara namun ia dapat diselesaikan.

Sebelum itu, pelbagai pihak dan agensi dilaporkan menjahit pakaian khas itu antaranya pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill, isteri pelawak, Atu Zero, Shafeeqa Johari.

Malah Briged Penjahit Covid-19 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut berjaya menghasilkan 70 sut peralatan PPE sehari. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Macam mana if nk salurkan sumbangan kewangan untuk PPE pakaian kepada KKM? NGO mana yang buat kutipan? Kita lihat ramai yg buat sumbabgan makanan. Tapi ada sesiapa yg buat khusus untuk menyediakan pakaian PPE

Comments are closed.