Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan mengendalikan isu pusat hiburan malam secara fleksibel dan tidak memaksa semua premis untuk tutup kedai pada pukul 1 pagi.
Larangan beroperasi menyebabkan 70 peratus pusat hiburan bakal gulung tikar.

KUALA LUMPUR – Premis hiburan seperti pub dan kelab malam masih lagi tidak dibenarkan operasi walaupun sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya terdapat premis kategori pusat hiburan itu dibuka, pihaknya akan memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pub dan kelab malam termasuk senarai terlarang sepanjang PKPB dan tidak boleh dibuka. Jika ada yang dibuka, kita akan maklum kepada PBT.

“DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) juga diarah ambil tindakan untuk ditutup pusat hiburan yang dibuka. Tiada kompromi kerana ia termasuk dalam senarai terlarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKPB di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, larang yang sama turut melibatkan sektor pendidikan bagi sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

Tegas beliau, jika sekolah tersebut telah beroperasi, Kementerian Pendidikan akan menyiasat sebelum diarahkan penutupannnya.

Sementara itu, Ismail memaklumkan, kerajaan membenarkan 31,503 pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan seperti pengajian sarjana dan doktor falsafah di institusi pengajian tinggi untuk memulakan kegiatan akademik dengan segera.

Beliau berkata keputusan itu diluluskan Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) semalam selepas cadangan dibentangkan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kebenaran ini membabitkan pelajar di 462 IPT yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk kerana memerlukan peralatan khusus,” katanya. – MalaysiaGazette