Anggota Angkatan Malaysia (ATM) membuat kawalan pada sekatan jalan raya untuk mengawal laluan keluar masuk susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pasar Borong Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 april 2020

KUALA LUMPUR – Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa hari ini.

Menteri Kanan (Kuster Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan itu melibatkan lapan parcel yang dikenalpasti.

Katanya, ia membabitkan Parcel A, Jalan 6/3A; Paecel B, Jalan 6/3A dan 9A; Parcel C, Jalan 2/3A; Parcel D, Jalan 2/3A; Parcel E1, Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D; Parcel E2, Taman Sri Murni Fasa 1; Parcel E3, Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B; dan Parcel F, Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

“PKPD keenam ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 dan bagi membolehkan aktiviti pengesanan dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya minta semua penghuni bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan dengan mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, penduduk di kawasan itu yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan bileh menghubungi Bilik Gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan IPD Sentul di talian 03-4048 2212.

Menjawab pertanyaan media mengenai PKPD itu, beliau berkata, Pasar Borong Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Pasar Borong Selayang tidak terlibat dengan penutupan kawasan berkenaan.

Ia katanya, hanya melibatkan perumahan yang penghuninya ramai rakyat Rohingya yang memegang kad UNCHR. – MalaysiaGazette