Bintang K-Pop terkenal, Rain bakal mengubati kerinduan peminat sempena Betadia Night di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 27 Ogos ini selepas lima tahun tidak berkunjung ke Malaysia.

KUALA LUMPUR – Bintang K-Pop terkenal, Rain bakal mengubati kerinduan peminat sempena Betadia Night di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 27 Ogos ini selepas lima tahun tidak berkunjung ke Malaysia.

Rain atau nama sebenarnya, Jung Ji Hoon, 40, adalah salah satu superstar dunia K-Pop yang mempunyai ramai peminat di Korea Selatan, Asia dan seluruh dunia.

Selain bergelar penyanyi, dia juga merupakan pelakon, penari dan pengacara pelbagai program.

Pada konsert itu, pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Full House dan Ghost Doctor itu akan ditemani dua penyanyi tempatan, Andrew Tan dan Jess Lee.

Andrew adalah penyanyi Mandapop yang menceburi bidang nyanyian sejak 2006 selepas memenangi pertandingan Astro Talent Quest dan TVB International Chinese New Talent Singing Championship di Hong Kong.

Jess Lee pula memulakan kerjaya sebagai penyanyi selepas menjuarai pertandingan nyanyian, One Million Star musim ketujuh dan berjaya mengumpul markah tertinggi dan berjaya memecah rekod pada pusingan akhir.

Betadia Night adalah persembahan percuma yang membuka peluang kepada peminat menyertai peraduan untuk mendapatkan tiket dalam talian secara percuma.

Untuk mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan persembahan Rain, Andrew dan Jess Lee, peminat perlu mendaftar dalam talian.

Untuk maklumat lanjut dan cara mendaftar, ikuti laman Facebook Betadia Malaysia di https://www.facebook.com/betadiamy/ dan http://www.betadia.asia/ untuk rebut tiket dalam talian. – MalaysiaGazette