Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Rais Hussin yang mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam bukan salah seorang daripada pengasas parti itu seperti yang dilaporkan.

Setiausaha Kerjanya, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya berkata, Rais dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 2016 hingga 2020.

“Beliau tidak mempertahankan jawatan Ahli MPT Bersatu dalam pemilihan parti pada 2020 dan tidak lagi aktif dalam Bersatu selepas itu.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih di atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah disumbangkan Datuk Wira Dr Haji Rais Hussin,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, bekas Ahli MPT Bersatu itu mengumumkan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta, semalam.

Beliau yang mendakwa antara pengasas Bersatu pada 2016 telah menghantar surat rasmi berhubung perkara itu kepada kepada parti, Khamis lalu.

Bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu itu memberitahu, beliau tidak lagi bergiat aktif dalam parti sejak 2020 selepas menjalani pembedahan jantung.

Kini Rais lebih menumpukan usahanya membangunkan badan pemikir, EMIR Research. – MalaysiaGazette