Riza Shahriz Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Ekeskutif Red Granite Pictures, Riza Aziz kini berdepan pula dengan saman bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) oleh pengasas Stratton Oakmont, Jordan Belfort.

Agensi melaporkan, Belfort yang juga terkenal sebagai pengendali skim penipuan pump-and-dumb pernah dipenjara kerana menipu skim pelaburan sebanyak AS$200 juta sekitar tahun 1990-an.

Belfort kemudian menjual hak memoirnya kepada Red Granite Pictures milik Riza Aziz bagi filem The Wolf of Wall Street yang pernah mengutip pecah panggung sehingga mencecah AS$392 juta (RM1.6 bilion) di seluruh dunia sebelum ini pada tahun 2011.

Permohonan yang difailkan pada 23 Januari menyatakan hak-hak tersebut telah dibeli dan filem itu dibiayai dengan wang tunai daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Belfort dalam tuntutan samannya, dirinya telah menjadi mangsa skim penipuan lebih besar yang didalangi oleh penerbit filem itu.

Belfort berkata beliau mempercayai Riza kerana dia menyatakan dana Red Granite daripada sumber sah termasuk daripada individu berpengaruh dan Goldman Sachs.

“Belfort benar-benar percaya diperdaya selepas mengetahui fakta sebenar mengenai sumber pembiayaan untuk Red Granite dan filem berdasarkan kisah hidupnya kerana pihak defendan menyembunyikan perbuatan jenayah dan sumber pendanaan ini daripadanya.

“Malah Belfort dikatakan tidak akan menjual hak kepada syarikat produksi filem itu jika dia tahu filem itu dibiayai dengan menggunakan wang haram,” kata laporan itu.

Ini menyebabkan Belfort memohon hakim persekutuan California untuk membatalkan kontrak mereka kerana sebelum ini penulis itu telah menjual hak memoir dan sekuel Catching The Wolf of Wall Street kepada Red Granite.

Ini kerana selepas skandal 1MDB, tuntutan saman itu menyatakan bahawa syarikat itu tidak lagi dapat memanfaatkan sepenuhnya hak berkenaan.

Kata peguam Belfort, Bryan Freedman kepada pemberita, Belfort dengan ketara kerugian oleh Red Granite yang mencemari hak terhadap buku atau ceritanya.

Saman itu kerana penipuan, kecuaian dan lalai, pelanggaran Akta Organisasi Korup dan Dipengaruhi Kegiatan Haram (Rico) Amerika Syarikat, pelanggaran kontrak serta pelanggaran perjanjian niat baik dan urus niaga adil.

“Sekiranya Belfort mengetahui fakta-fakta itu, dia tidak akan setuju untuk menandatangani kontrak itu. Hal ini disebut penipuan dan sekali lagi, Red Granite perlu bertanggungjawab terhadap kegiatan haramnya,” jelasnya.

Ketika ini, Riza Aziz sedang menghadapi tuduhan rasuah di Malaysia kerana didakwa menggelapkan AS$248 juta (RM1 bilion) daripada 1MDB yang merupakan dana pembangunan negara.

Riza Aziz merupakan anak hasil perkahwinan pertama isteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor. – MalaysiaGazette