Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Rapid Test Kit Anitgen (RTK-Ag) berpotensi menunjukkan keputusan saringan Covid-19 ‘negatif palsu’ kepada individu yang telah dijangkiti pandemik itu.

Jelas beliau, perkara itu akan berlaku apabila kemungkinan besar individu yang mendapat keputusan negatif Covid-19 palsu berada dalam tempoh inkubasi di mana kandungan bilangan virus adalah rendah untuk dikesan dengan ujian RT-Ag.

“Ini adalah kerana ujian RTM-Ag mempunyai sensitiviti sebanyak 90 peratus. Ini bermakna daripada 100 orang yang disaring mungkin terdapat keputusan false negative (negatif palsu) bagi 10 orang. Ia merupakan satu kekangan ujian ini,” katanya ketika sidang media hari ini.

Justeru ujar Noor Hisham, penting untuk setiap individu yang disaring menjalani kuarantin selama 14 hari seperti yang ditetapkan dalam polisi pengurusan wabak ini.

Terdahulu beliau memaklumkan sehingga 15 Julai, sebanyak 88,048 ujian RTK-Ag telah dijalankan dan sebanyak 197 ujian telah dikesan positif Covid-19.

Daripada jumlah itu, sebanyak 25,038 adalah saringan di semua pintu masuk antarabangsa.

Manakala sebanyak  829,238 ujian telah dijalankan menggunakan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Bagaimanapun Noor Hisham berkata, RTK-Ag yang digunakan sejak 6 Mei mempunyai kelebihan untuk mengesan jangkitan dalam jumlah yang besar dalam waktu yang singkat.

Ia telah dimanfaatkan untuk kegunaan saringan pengembara di pintu masuk antarabangsa, pra-pembedahan, punca membawa kematian, Acute Respiratory Infection dan ujian bagi kumpulan sasar.- MalaysiaGazette