Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media khas selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Kabinet di Kementerian Pengakutan, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengaku meminta lanjutan tempoh enam bulan untuk projek Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru – Singapura

Namun ia bukan untuk mengkaji semula sama ada projek tersebut akan diteruskan atau tidak.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bertujuan untuk melihat pelaksanaannya menerusi pengurangan kos sebanyak 36 peratus di sebelah Malaysia, termasuk melantik jurutera untuk melakukan kajian bersama.

Semua itu perlu dilakukan sebelum Malaysia menandatangani pindaan-pindaan perjanjian bersama Singapura berhubung projek tersebut, ujarnya.

“Betul. Memang kita ada buat permintaan enam bulan sebelum kita dapat menandatangani semua perjanjian seperti yang kita telah umum (kerajaan memutuskan meneruskan RTS dengan membenarkan skop dan struktur projek itu), (tapi) itu perlu ada pindaan perlu ada kajian.

“Kita memerlukan sedikit masa untuk membuat pindaan terhadap perjanjian-perjanjian ini dan juga (ia) tertakluk kepada kajian ‘kejuruteraan bersama’ yang perlu dibuat.

“Lanjutan itu adalah untuk menandatangani (perjanjian) bukan untuk buat keputusan, apa kita perlu buat (atau tidak) kita sudah buat keputusan tapi macam mana untuk laksanakannya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Sementara itu, beliau menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya cuba mengelirukan masyarakat berkenaan pengurangan kos pembinaan projek yang hanya melibatkan Malaysia sahaja.

“Itu yang kita kata, itu kos di Malaysia. Kos RTS ini saya rasa ada pihak yang tak faham termasuklah ada pihak yang cuba mengelirukan, termasuklah bekas Perdana Menteri, dia kata kos ini melibatkan dua pihak

“Kalau di sebelah Malaysia tanggungjawab Malaysia, kalau di Singapura tanggungjawab mereka. Jadi kita sebut penjimatan kos itu adalah di sebelah (pihak) kita iaitu di antara stesen Bukit Chagar dan infrastruktur jambatan itu sampai ke sempadan jambatan Singapura, jadi bahagian itu (yang kita) dapati boleh kurangkan kos,” ujarnya.

Baru baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sudah memaklumkan kepada Singapura untuk meneruskan pembinaan projek itu tanpa sebarang penangguhan dengan kos yang lebih rendah.

Menurutnya, kos keseluruhan projek yang baharu dianggarkan dapat dikurangkan daripada RM4.93 bilion kepada RM3.16 bilion iaitu penjimatan sebanyak 36 peratus bersamaan RM1.77 bilion.

Untuk rekod, RTS Johor Bahru – Singapura antara penyelesaian bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

Najib kemudian menerusi Facebooknya hari ini mendakwa Anthony menipu apabila Singapura dilaporkan berkata, negara itu tidak dimaklumkan tentang perubahan-perubahan pelaksanaan projek tersebut selain negara berkenaan turut mengesahkan permintaan lanjutan tempoh sehingg 30 April 2020. -MalaysiaGazette