Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Isu ini bukannya sebuah isu yang baharu pun. Hakikatnya, ianya sekadar siaran ulangan tuntutan oleh dibuat oleh Kesultanan
Sulu dan kerajaan Filipina ke atas negeri Sabah sebelum ini.

Isu berkait kedaulatan Sabah tidak berakhir di situ sahaja. Baru-baru ini akhbar tempatan dan media sosial menyiarkan berita bahawa ada pihak yang melancarkan kempen ‘Sabah Sarawak keluar Malaysia (SSKM)’ untuk membangkitkan sentimen membenci Kerajaan Pusat dalam kalangan rakyat Sabah dan juga Sarawak.

Walaupun diancam daripada setiap sudut seperti ini, ancaman terbesar Sabah adalah masih situasi politiknya yang tidak stabil dan ahli politiknya sendiri.

Apa yang jelas di sini adalah dinamika politik Sabah tidak dipengaruhi dan ditentukan oleh satu faktor tetapi turut membabitkan di antara lain, impak ekonomi kerana koronavirus, faktor etnik, hubungan federalisme, sentimen regional serta pembangunan dan penaungan antara faktor-faktor yang saling berhubung-kait.

Tidak dapat dinafikan bahawa bakal Ketua Menteri Sabah kali ini bukan sahaja akan menentukan nasib Sabah dan rakyat untuk lima tahun tetapi akan mengukir nasib satu generasi selepas ini.

Kerana itu lah, rakyat Sabah disaran supaya bijak dan teliti di dalam menentukan siapa yang mereka nak untuk mengemudi negeri Sabah pada masa genting dan mencabar ini.

Ura-ura yang berlegar di Sabah ketika ini memberikan kita dua nama sebagai calon Ketua Menteri iaitu Shafie Apdal (WARISAN) dan Musa Aman (UMNO/BN).

Jika ura-ura ini menjadi realiti kelak, nasib Sabah bakal bergayut untuk satu dekad lagi. Secara ringkas, Shafie telah gagal membuktikan dirinya sebagai seorang Ketua Menteri yang berkaliber.

Di bawahnya, Sabah telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang paling teruk di dalam sejarah mereka.

Shafie menunding jari kepada pandemik koronavirus dan pergolakkan politik sebagai faktor yang mendorong kemelesetan ekonomi tetapi realitinya adalah Shafie tidak berupaya menggubal polisi yang mampu mengubah takdir Sabah.

Musa semestinya akan bersandar kepada kadar pertumbuhan ekonomi Sabah lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan negara dalam tempoh lapan tahun sebelum kerajaan Sabah  bertukar tangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai asas untuk menyakinkan urang Sabah dia lah Ketua Menteri yang paling layak di sini.

Seperti alasan Shafie sebelum ini, faktor Musa yang ini juga adalah satu kenyataan politik semata-mata sahaja dan tidak memberikan gambaran yang sebenar.

Untuk pengetahuan semua, pertumbuhan ekonomi Sabah memuncak untuk 8 tahun bukan kerana usaha Musa tetapi polisi dan dasar Kerajaan Persekutuan yang akhirnya membawa pembangunan yang dirasai mereka di Semenanjung ke Sabah.

Sebagai contoh, projek Lebuh Raya Pan Borneo yang merancakkan perancangan sosio ekonomi dan pembangunan negeri pada kadar yang tidak dirasai Sabah sebelum ini.

Dan selain soal ekonomi, Shafie Apdal dan Musa Aman tidak harus diberi peluang menjadi Ketua Menteri kerana walau siapa di antara mereka berdua menjadi Ketua Menteri, apa yang pasti menyusul bukan pembangunan tetapi pergolakkan politik.

Okay .. Kalau bukan Shafie, kalau bukan Musa, siapa lagi yang ada kewibawaan untuk mengukir nasib Sabah? Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Seperti mana dihuraikan sebelum ini, Sabah bukan sahaja ada isu ekonomi tetapi turut dikelilingi masalah lain berkaitan kedaulatan dan sebagainya. Pengalaman Anifah selaku Menteri Luar sebelum ini akan menguntungkan Sabah secara jelas di sini.

Ramai lagi yang masih tidak tahu bahawa di bawah kepimpinan Anifah selaku Menteri Luar, Malaysia telah berjaya menjadi anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Imej Anifah di pentas dunia akan membantu Sabah menghindari tuntutan Filipina dan pihak lain terhadap Sabah. Anifah mampu untuk menguatkan sekuriti negeri Sabah melalui diplomasi iaitu sesuatu yang Shafie mahupun Musa tidak mampu lakukan sebelum ini.

Mengambil kira faktor politik Sabah yang terkenal dengan ketidak stabilannya, Anifah juga adalah calon yang paling sesuai untuk membawa kestabilan politik ke Sabah. Ini kerana Anifah telah membuktikan dirinya sebagai seorang yang tidak tamak kuasa atau gila jawatan apabila menolak pelantikan sebagai Timbalan
Menteri di dalam Kabinet Pak Lah kerana merasa dirinya tidak ada skill set yang sesuai untuk menyumbang jasa melalui jawatan tersebut.

UMNO semestinya inginkan kerusi Ketua Menteri dan keinginan tersebut adalah wajar kerana UMNO sendiri ada calon berwibawa yang lain.

Tetapi, apabila dibandingkan dengan Anifah. Saya anak Sabah. Kini duduk di Selangor kerana seperiuk nasi walaupun negeri asal saya adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan negara melalui sumber asli.

Kenapa Sabah miskin? Kerana politik. Itu sahaja. Abaikan politik itu kali ini. Berikan kita Anifah sebagai Ketua Menteri.

Chanakya N, anak Sabah.