Sabin Samitah

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Datuk Sabin Samitah dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA) berkuatkuasa 12 Disember lepas.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan sebagai Presiden CATA itu bagi tempoh sehingga 2018 dan pertubuhan percukaian antarabangsa itu dianggotai oleh pentadbir cukai dari 47 negara.

Ia merupakan pertubuhan percukaian yang terbesar di dunia mengikut bilangan keahlian pentadbir cukai.

Objektif utama CATA adalah untuk membantu negara-negara anggota mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pentadbiran percukaian dan sehingga kini, CATA telah memainkan peranan yang penting
dalam mempromosikan pemodenan pentadbiran percukaian dan penggunaan polisi, proses dan prosedur kerja yang efisyen dalam kalangan negara-negara Komanwel terutamanya negara-negara membangun.

Malaysia merupakan presiden ke-12 CATA sejak penubuhannya pada 1979 dan pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan negara-negara anggota kepada negara ini.

“Malaysia dilihat mampu membawa pertubuhan ini ke fasa seterusnya dalam menangani isu-isu percukaian antarabangsa yang kian mendapat perhatian di peringkat global, seperti Base Erosion, Profit Shifting, perancangan cukai agresif dan pelarian cukai.

“Pelantikan ini turut mengiktiraf suara Malaysia di persada dunia,” kata kenyataan yang sama.-MalaysiaGazette