Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Toe Seng Capital Bhd menggantung pengeluaran telur dari Layer Farm 1, susulan kenyataan yang dikeluarkan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengenai ‘penarikan balik telur Teo Seng Layer Farm 1 (Malaysia)’ disebabkan kehadiran Salmonella Enteritidis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Sabtu, Teo Seng berkata, ia juga memberi jaminan tiada telur dari ladang itu yang dijual untuk pasaran domestik serta eksport dan selanjutnya akan menjalankan siasatan terhadap kejadian itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Keselamatan produk sentiasa menjadi keutamaan Teo Seng, semua lokasi ladang pengeluaran kami berjauhan sebagai langkah untuk mengurangkan pencemaran antara ladang. Teo Seng juga mengamalkan ujian makmal secara berkala ke atas pensampelan telur dari setiap ladang bagi memastikan keselamatan produk.

“Sehingga kini semua produk ladang lain telah diuji negatif Salmonella Enteritidis dan ini akan memastikan bekalan telur dari ladang lain selamat untuk dimakan dan tidak terjejas,” menurut kenyataan itu.

Teo Seng berkata pihaknya juga akan berkomunikasi dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk menyiasat dan memantau ladang yang didakwa mengesan kehadiran Salmonella Enteritidis itu.

Kumpulan itu memberi jaminan, kerjasama penuh akan diberikan kepada penyiasatan untuk mengenal pasti punca utama dan berusaha melakukan tindakan pemulihan yang sesuai untuk memastikan produk selamat dan menyambung semula penjualan telur dari ladang yang didakwa.

“Ladang yang didakwa itu menyumbang kira-kira 3.5 peratus daripada jumlah pengeluaran kami. Sementara siasatan masih dijalankan, lembaga itu tidak dapat memastikan jumlah hasil yang terjejas pada masa ini,” menurut kenyataan itu lagi. – BERNAMA