Suee Lim (kanan) selalu mengganggu sesi perbahasan ADUN BN, tetapi terduduk bila kesnya melanggar seorang pelajar dibangkitkan.

SHAH ALAM – SIDANG DUN Selangor yang masuk hari kedua semalam, hanya menyaksikan seorang ADUN Barisan Nasional (BN) diberi peluang berbahas. Selainnya ADUN dari PKR dan DAP.

Sidang dua hari itu yang dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah lebih kepada angkat bakul masuk sendiri. Tidak ada isu-isu yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Sebagai contoh, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong Keat Ping, hanya berbangga dengan usahanya memperkenalkan penjualan beg plastik di pusat beli belah dengan harga 20 sen satu.

Beliau mendakwa, dengan kempen itu, alam sekitar di Selangor telah berubah secara mendadak sebagaimana berlaku pada Sungai Klang yang semakin bersih dan bebas dari pencemaran bahan plastik sehingga buaya pun sudah timbul.

Apabila buaya mula menampakkan diri di Sungai Klang, bagi Elizabeth kononnya membuktikan negeri itu sudah bebas dari pencemaran bahan berasaskan plastik dan puncanya dari kempen mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik.

Namun, Exco itu lupa, Selangor masih menjuarai dalam kes denggi, yang mana rekod sehingga akhir Disember lalu menunjukkan jumlahnya hampir mencecah 45,000 kes.

Ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Daroyah Alwi berdasarkan soalan dan pertanyaan ADUN Batu Tiga, Roziah Ismail.

Roziah bertanyakan apa langkah-langkah diambil kerajaan Selangor bagi mengatasi kes Tibi tau batuk kering yang kadar jangkitannya meningkat dari setahun ke setahun, dan dijawab oleh Exco berkenaan bahawa pihaknya sedang serta berusaha mengurangkannya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri.

Jawapan itu mencetuskan rasa tidak puas hati ADUN Batu Tiga yang menyifatkan kerajaan negeri tidak serius menanganinya, selain kes denggi yang juga semakin meningkatkan.

Agak menarik dalam persidangan semalam ialah dewan menyaksikan betapa tidak matangnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri, Amirudin Shari yang begitu emosi dalam menjawab isu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Isu itu dibangkitkan ADUN BN dari Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang bertanyakan perkembangan terkini krisis antara kerajaan negeri dengan FAS terutama larangan pasukan Red Giant menggunakan Stadium Shah Alam.

Apa Amirudin jawab? “Go to hell…” kepada FAS.

Perkataan kasar dan kesat yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang anggota Exco yang bertanggungjawab penuh dalam bidang sukan.

Budiman menegur sikap emosi Exco berkenaan agar bertenang dan tidak wajar mengeluarkan kata-kata demikian kepada pasukan negeri sendiri, yang sebelum ini telah mengharumkan nama Selangor dalam sukan bola sepak tanah air.

Nampak jelas riak wajah Amirudin yang tidak suka kepada pengurusan FAS apabila menjawab pertanyaan Budiman.

Beliau menuduh FAS cuba bermain politik dan turut menuding jari kepada UMNO kononnya berada di balik mainan persatuan itu.

Berbalik kepada sesi perbahasan, hanya ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak satu-satunya dari BN diberi peluang berbahas menjunjung ucapan terima kasih titah Sultan Selangor.

Itu pun sepanjang berbahas, beliau diganggu oleh ADUN PKR dan DAP menyebabkan masa 20 minit yang diperuntukkan kepadanya habis begitu sahaja.

Namun, dalam masa singkat itu beliau sempat menyindir kerajaan Selangor yang mengutamakan rumah urut dari rumah mampu milik atau Rumah Selangorku yang sehingga kini hanya lebih kepada indah cakap dari rupa.

Begitu juga dengan Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang diperkenalkan kerajaan Selangor kononnya untuk meringankan beban ibu tunggal.

Sulaiman membidas program itu yang dikatakan tidak menyeluruh, yang mana selain kawasan dimenangi BN tidak ada seorang pun peserta layak, DUN yang dimenangi Pas juga tidak terkecuali dari sikap diskriminasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Cuma ada sedikit keadaan agak tegang apabila ADUN DAP dari Sekinchan, Ng Suee Lim dilihat sering mengganggu sesi perbahasan Sulaiman dan cuba dihentikan oleh ADUN Permatang itu dengan mengingatkan Suee Lim bahawa beliau ada kes.

“Sekinchan…Sekinchan ada kes tau…mabuk langgar orang. Ada laporan polis dibuat kepada Yang Berhormat Sekinchan. Saya akan bagi nanti..sabar,” kata Sulaiman.

Suee Lim yang sering bangun mencelah ketika Sulaiman berbahas dilihat cuba hendak menjadi jaguh kampung dengan memuji serta mempertahankan sikap pilih kasih kerajaan negeri.

Beliau akhirnya terduduk, diam selepas Sulaiman berjanji akan membawa bukti esok (hari ini) ADUN itu melanggar seorang pelajar.

Untuk rekod, dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam pada 7 Februari 2010, Suee Lim dikatakan memandu kereta lalu kenderaannya itu terbabas, melanggar pembahagi jalan dan hilang kawalan.

Ketika itu, seorang pelajar UiTM yang menunggang motosikal dirempuh kereta dipandu Suee Lim menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia beberapa hari kemudian. – MalaysiaGazette