Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta Presiden SAHOCA, Mirzan Tun Mahathir (duduk kiri) bergambar bersama sebahagian ahli yang hadir pada Majlis Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata sekolah kebangsaan kini sudah berubah menjadi sekolah agama.

Ia hanya mengutamakan pembelajaran subjek agama Islam sahaja, katanya.

Perdana Menteri melihat perkembangan itu sebagai tidak sihat dan membimbangkan kerana pelajar tidak mempelajari subjek lain selain agama.

“Pada akhirnya kesannya adalah pelajar tidak fasih dalam subjek yang boleh membawa peluang pekerjaan kepada mereka dan akhirnya membawa kepada kearah menjadi ulama.

“Maka kita kerajaan akan mengkaji dan menyusun semula jadual kurikulum dan subjek subjek lain di sekolah kebangsaan.

“Dengan ini, mereka tidak akan mentauladani subjek agama sahaja sepanjang masa di sekolah, mungkin sekali dalam seminggu tetapi kita perlu menguasai subjek bahasa lain,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Tun Abdul Hamid di Bangsar South malam tadi.

Dalam perkara sama, Mahathir menyarankan rakyat Malaysia harus berpendidikan tinggi bukan sekadar membaca doa sahaja tetapi juga menguasai bahasa lain.

Kegagalan itu akan menyebabkan rakyat semakin ketinggalan ke belakang dari arus pembangunan.

Penguasan Inggeris katanya, sangat penting untuk menimba pengetahuan dan menguasai Sains dan Matematik secara mendalam.

“Korikulum sekolah pasti akan dikaji dan diubah supaya mengajar pelajar dengan subjek penting supaya mereka boleh berdikari apabila dewasa nanti.

“Kalau kamu menguasai subjek Inggeris, tidak bermakna kamu menjadi Englishman..apatah bahasa Inggeris bukannya untuk rakyat England sahaja, ia bahasa universal yang wajib kita mahir dan kuasai segera.

“Kita masih ada semangat Malaysia Boleh dan sekiranya kita boleh bekerja keras, kita boleh mengejar negara yang sudah maju dan walaupun kita mahir dan berilmu dalam subjek agama tetapi juga wajib menguasai bahasa lain,” ulangnya. – MalaysiaGazette