Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Sesi petang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Rakyat diberitahu bahawa sebarang keputusan untuk merujuk Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan diputuskan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Katanya, langkah itu diambil setelah mendapat penjelasan bertulis terhadap dakwaan bahawa Najib telah mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya teliti dan ianya agak tebal dan saya telah pun duduk dengan Ahli Parlimen Damansara dan berikan masa sedikit kepada Ahli Parlimen Damansara (Tony Pua) jawab penjelasan itu. Menteri Kewangan telah berikan penjelasan.

“Saya akan beri salinan supaya (Ahli Parlimen) Pekan dan Damansara supaya mereka tahu apa yang diperkatakan dan setelah mendapat jawapan daripada Damansara. Saya akan buat keputusan. Perkara ini agak rumit kerana ianya melibatkan fakta dan butiran yang detail, dan terpaksa betul-betul saya perhatian dan sama ada ia mengelirukan,” katanya.

Azhar Azizan menjawab perkara itu ketika menerima celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau sebelum itu mengesahkan sudah memberi penjelasan bertulis daripada Najib pada Selasa lalu terhadap dakwaan isu 1MDB itu di pejabat sebelum jam 10 pagi Selasa lalu.

Najib sebelum ini menerima kebenaran daripada Azhar Azizan untuk memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Selasa depan berhubung kenyataan beliau mengenai 1MDB yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat itu.

Azhar Azizan menegaskan tidak timbul isu bekas Perdana Menteri itu mengingkari arahannya.

Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, ketika berbahas di Dewan Rakyat, Najib menggunakan perkataan tertentu dan spesifik dan tidak langsung menyentuh mengenai hutang wang 1MDB tidak dibayar.

“Beliau menyatakan hutang prinsipal 1MDB tidak dibayar. Jadi jawapan yang diberikan Menteri Kewangan keesokan harinya atas pertanyaan Ahli Parlimen Bagan mengatakan bahawa negara kita sudah bayar faedah dan prinsipal akan hanya terbayar pada bulan Mei apabila matangnya bon yang pertama.

“Itu ada percanggahan di mana Ahli Parlimen Pekan kata hutang prinsipal tidak dibayar, dan Menteri Kewangan kata kita sudah bayar faedah cuma prinsipal bulan Mei ini, itu masalah saya. Itulah saya duduk dengan Ahli Parlimen Damansara untuk beritahu beliau apa yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Pekan dan perlu menjawab sebelum saya membuat keputusan,” kata Azhar Azizan lagi.

Isu itu mula dibangkitkan Tony Pua yang mahu Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa beberapa perkara yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Titah Diraja sebelum ini.

Ia termasuk menyatakan tiada satu sen prinsip hutang 1MDB pernah dibayar kerajaan memerlukan penjelasan. – MalaysiaGazette