KUALA LUMPUR – Lebuhraya Sprint mengesahkan tentang tindakan seorang polis bantuan yang menyalahgunakan trak tunda untuk mencuri kenderaan tersadai.

Pengendali lebuh raya berkenaan mengesahkan seorang anggota polis bantuan telah ditahan reman berhubung satu kes kecurian kenderaan dan kini sedang disiasat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Komunikasi Sprint, Shah Rizal Mohamed Fawzi.

”Buat masa ini, anggota polis bantuan tersebut telah digantung tugas serta merta sehingga siasatan selesai.

”Pihak kami telah dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada
pihak PDRM bagi menjalankan siasatan lengkap terhadap kes ini.

Pihak Lebuhraya SPRINT ingin menegaskan bahawa kami tidak akan bertolak ansur atau melindungi mana-mana individu sekiranya didapati menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Isu ini juga tidak akan menjejaskan operasi Pasukan Polis Bantuan Lebuhraya SPRINT, terutamanya perkhidmatan bantuan kepada pengguna lebuh raya kerana keselamatan pengguna lebuh raya adalah keutamaan syarikat tersebut.

Pada masa sama, pengendali lebuh raya itu turut mengingatkan semua anggota dan warga kerjanya untuk mematuhi undang-undang dan menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pengguna lebuh raya. – MalaysiaGazette

Polis bantuan guna trak tunda curi kereta tersadai