Kerajaan akan mengenakan Cukai Jualan sebanyak 10 peratus manakala Cukai Perkhidmatan pada kadar enam peratus apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula pada 1 September ini, kata Lim Guan Eng
Kerajaan akan mengenakan Cukai Jualan sebanyak 10 peratus manakala Cukai Perkhidmatan pada kadar enam peratus apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula pada 1 September ini, kata Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengenakan Cukai Jualan sebanyak 10 peratus manakala Cukai Perkhidmatan pada kadar enam peratus apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula pada 1 September ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan menjangkakan perolehan sebanyak RM4 bilion hasil kutipan SST menjelang hujung tahun ini.

“Berikutan pelaksanaan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak Jun lalu, kerajaan Persekutuan dijangka kehilangan pendapatan sebanyak RM21 bilion tahun ini.

“Bagaimanapun, pengenalan semula SST, peningkatan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) akan memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan pada 2018,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Persidangam Cukai Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, Rang Undang-undang SST dijangka diluluskan pada Ogos ini semasa persidangan Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya menukar pendekatan berkasar semasa mengutip cukai dari pembayar yang engkar.

Ini termasuk dengan menghentikan tindakan membawa kakitangan bersenjata ketika membuat serbuan.

“Kita bukan berurusan dengan gangster. Sekarang, LHDN boleh mengikut undang-undang dengan melaksanakan meja audit.

“Para pembayar cukai yang merasakan mereka bermasalah boleh datang ke pejabat-pejabat LHDN dan berbincang. Ini lebih baik dan tidak memalukan daripada petugas LHDN bersenjata menyerbu premis anda.

“Sekiranya mereka masih engkar, LHDN boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah dan biarkan undang-undang menentukan nasib mereka,” katanya lagi.

Selain itu, kerajaan menurut Guan Eng sentiasa akan menyemak semula undang-undang berkaitan cukai yang telah lapuk dan membebankan pembayar cukai.-MalaysiaGazette