Pengumpul sundang darjat dan keris juga Pengerusi Yayasan Al Amin, Ustaz Muhammad Al Amin menunjukkan antara 100 koleksi sundang darjat yang merupakan senjata melayu lama daripada dalam sehingga luar negara dengan latar belakangnya yang tersendiri ketika di Al Amin Travel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Bila sebut tentang keris, sudah tentu ramai yang mengenali warisan senjata Melayu lama itu.

Tapi jika disebut sundang, pasti ramai yang kurang mengetahuinya. Berkemungkinan besar ada yang tidak pernah mendengar namanya khususnya generasi muda.

Antara keris yang merupakan senjata melayu lama daripada dalam sehingga luar negara dengan latar belakangnya yang tersendiri dikumpul oleh Ustaz Muhammad Al Amin ketika di Al Amin Travel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2023.

Sebenarnya, sundang adalah pedang Melayu lama yang turut digunakan sebagai senjata selain keris.

Salah seorang penggemar koleksi sundang adalah pendakwah terkenal, Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin atau lebih dikenali Ustaz Amin.

Pengumpul sundang darjat dan keris juga Pengerusi Yayasan Al Amin, Ustaz Muhammad Al Amin menunjukkan nama-nama besi dari tanah melayu yang digunakan untuk membuat senjata lama yang berkualiti dan unik ketika di Al Amin Travel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2023.

Sejak muda lagi, beliau sudah tertarik dengan senjata Melayu lama tersebut.

Kini lebih 100 bilah sundang menjadi koleksinya yang dimiliki dari dalam dan luar negara seperti Pattani dan Indonesia.

“Sundang sebenarnya adalah identiti Melayu tapi ramai yang tidak tahu. Ia kelihatan macam keris tapi saiznya besar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Antara kitab lama yang dikumpul oleh Pengumpul sundang darjat dan keris juga Pengerusi Yayasan Al Amin, Ustaz Muhammad Al Amin di Al Amin Travel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2023.

Jelas beliau, uniknya, sundang bukan sekadar pada cirinya yang dihasilkan bergantung dengan kreativiti orang Melayu lama tapi kelainannya pada komposisi bilah yang diperbuat daripada pelbagai jenis besi.

Malah, katanya, ada bilah sundang yang diperbuat daripada campuran besi dan emas.

Bukan sahaja perinciannya yang lain daripada yang lain, ia juga berbeza untuk kegunaan kasta istana iaitu Sundang Darjat, Waad untuk kegunaan panglima manakala Sundang Adat untuk orang biasa.

“Bilahnya diperbuat daripada pelbagai jenis besi bahkan ada yang ditempa menerusi emas. Hulunya juga pelbagai jenis seperti ayam laga, burung, mata angin.

Pengumpul sundang darjat dan keris juga Pengerusi Yayasan Al Amin, Ustaz Muhammad Al Amin menunjukkan antara 100 koleksi sundang darjat yang merupakan senjata melayu lama daripada dalam sehingga luar negara dengan latar belakangnya yang tersendiri ketika di Al Amin Travel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2023.

“Manakala tajinya juga begitu pelbagai jenis yang boleh dipelajari dan dikaji,” katanya lagi.

Dalam ratusan koleksi sundang yang dimilikinya, ada juga antaranya yang sebelum ini mempunyai elemen mistik yang dipercayai mempunyai saka.

Namun Muhamad al-Amin yang juga terkenal sebagai pendakwah telah ‘membersihkan’ senjata berkenaan daripada unsur jahat menggunakan ayat al-Quran dan kemudian dijadikannya koleksinya.

“Siapa yang takut kata keris atau sundang ada saka atau elemen mistik saya boleh bantu ‘bersihkan’ sebab sayang kalau dibiar begitu sahaja,” katanya.

Minatnya yang terlalu mendalam terhadap pedang Melayu lama itu membuatkan Muhamad al-Amin sanggup membuat kajian tentang komposisi sundang yang dimilikinya.

“Saya lebih kepada kaji besi yang digunakan untuk buat bilah Sundang Darjat ini. Senjata Sundang Darjat ini lazimnya memang ditempa sendiri dibuat oleh Melayu lama.

“Saya akan hantar ke makmal dengan kerjasama sebuah universiti terkemuka dalam negara untuk kenal pasti jenis keris atau Sundang, komposisi besi yang digunakan dan usianya.

“Daripada kajian itu yang membolehkan saya mengenali dan mengetahui sundang itu diperbuat daripada apa dan setiapnya selalu berbeza dengan koleksi saya yang lain,” tambahnya.

Beliau berpendirian, sundang perlu terus diperkenalkan kepada masyarakat hari ini.

Oleh sebab itu, Muhamad al-Amin mula memperkenalkan sistem ‘pengenalan’ untuk senjata Melayu lama berkenaan termasuklah keris.

Antara keris yang merupakan senjata melayu lama daripada dalam sehingga luar negara dengan latar belakangnya yang tersendiri dikumpul oleh Ustaz Muhammad Al Amin ketika di Al Amin Travel, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2023.

“Bila ada elemen seperti itu selalunya orang sudah tidak mahu simpan. Jadi mereka beri saya kemudian saya bersihkan dahulu, buang elemen mistik itu melalui cara agama kita atas usahalah.

“Siapa-siapa ada senjata lama boleh datang kepada saya untuk buat pengenalan senjata lama termasuklah sundang,” katanya.

Jelas beliau, pengenalan berkenaan mempunyai maklumat tentang sundang termasuk keris, jenis bilah, komposisi besi yang digunakan, hulu, taji dan banyak lagi.

Pengenalan berkenaan akan memudahkan waris dan generasi seterusnya mengenali senjata Melayu lama yang merupakan khazanah berharga.

“Sebab senjata Melayu lama sebenarnya berharga tapi kalau tidak tahu yang dianggap tidak bernilai,”ujarnya.

Muhamad al-Amin berharap usahanya itu akan memberi kemudahan kepada pemilik untuk mengenali senjata Melayu lama sekaligus menghargai warisan budaya Melayu.- MalaysiaGazette