Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini terus mengkritik pembangkang yang membuat pelbagai janji yang disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Menurut ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, antara janji yang tidak masuk akal pembangkang ialah mahu menghapuskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Kalau mendengar janji-janji pihak lawan, nescaya kita akan jadi Superman. Boleh terbang, boleh angkat bangunan, boleh segala-gala. Namun hakikat dunia tidak sebegitu.

“Sebagai contoh, tiada siapa yang suka bayar cukai. Kita sendiri pun akui, tak suka bayar cukai. Tapi suka atau tidak, kita tetap bayar cukai. Sebab apa? Kerana cukai itulah yang membiayai pembangunan, membantu yang memerlukan, dilabur untuk masa depan.

“Bukan RM41 bilion itu masuk poket pemimpin sebagaimana yang ditohmah anak-anak muda di luar sana. Duit inilah yang digunakan untuk buat jalan, bina lebuh raya, biaya pendidikan di universiti, naik taraf sekolah, bayar operasi hospital dan klinik kerajaan, dan macam-macam lagi.

“Saya nak tanya, pembangkang ini lagi pandai dari negara-negara lain yang ada GST? United Kingdom, Australia, Germany dan 170 negara lain, semua ada GST. Malah di kalangan negara-negara ini, tidak ada satu kes pun di mana bila kerajaan bertukar, GST dihapus bersama. Itulah yang Datuk Ahmad Maslan dok terangkan satu negara sampai berbuih mulut,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini sempena Persidangan Agung UMNO 2017hari ini.

Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ menegaskan, rakyat kini perlu bijak menilai strategi Pakatan Harapan (PH) terutama dalam menabur janji mereka semata-mata untuk menang PRU-14 akan datang.

“Nak hapus tol, nak tangguh PTPTN, nak bagi macam-macam percuma. Kalau di negara maju, rakyat sudah tolak mereka.

“Jangan ingat UMNO tak prihatin pada rakyat. Kerajaan faham akan cabaran yang mendepani rakyat.

“Di perhimpunan ini, isu kos sara hidup dibangkitkan setiap tahun. Dan Kerajaan juga bukanlah tidak berhati perut. Cuma kita tidak mahu menjadi Kerajaan yang tidak bertanggungjawab – berjanji bulan dan bintang, sehingga terpaksa mengorbankan masa depan. Apa yang kita lakukan ialah bila mampu, kita akan laksanakan,” tambahnya.- MalaysiaGazette