Dr. Daroyah Alwi mencabut logo parti sebagai gimik keluar dari PKR.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Ia selepas beberapa jam Timbalan Ketua Wanita PKR itu membuat keputusan itu di Shah Alam/

“Syabas YB Dr. Daroyah Alwi! Ayuh kita teruskan perjuangan dan cita-cita tulen demi membela nasib rakyat,” katanya di Twitter beliau hari ini.

Daroyah hari ini mengumumkan keluar parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuatkuasa serta merta.

Beliau mendakwa telah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Presiden PKR itu dan juga pimpinan parti kerana alpa dengan idealisme perjuangan serta hala tuju parti.

Tindakan itu dapat ‘dibaca’ media kerana beliau dilihat berada dalam kem Mohamed Azmin dan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Daroyah adalah pemimpin terbaharu PKR yang mengumumkan keluar parti selepas kumpulan menyokong Azmin mengumumkan perkara sama dah menyokong Menteri Kanan Ekonomi itu.

Pada 5 Jun lalu, PKR menerima tamparan apabila Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang mengumumkan keluar parti.

Beliau membuat kenyataan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia tidak terhenti disitu apabila dua wakil rakyat Kedah iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling mengumumkan keluar PKR pada 12 Mei lalu.

Tindakan itu pantas menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ‘tumbang’ di Kedah.

Sebelum ini PKR berpecah kepada dua apabila seramai 11 ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan PH.

Mereka yang keluar ialah  Mohamed Azmin (Gombak); Zuraida (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat); Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat); Ali Biju (Saratok); Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Kumpulan itu kemudiannya menyokong Muhyiddin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya hilang kepercayaan kepada Anwar – Daroyah

2 Komen

  1. Khabarnya Nurul Izzah Anwar akan umum keluar parti dalam masa terdekat kerana tidak bersetuju dengan Anwar dan tidak nagu duduk bersama TUN M.

  2. Tahniah Dr kerani berani dan jujur dalam politik. Tal srperti MB Selangor yang hipokrit.

Comments are closed.