Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad.

ALOR SETAR – Netizen ataupun orang awam diminta membuat laporan terus kepada pejabat agama negeri ataupun daerah, sekiranya ada isu talak yang meragukan tular di media sosial sekali gus menimbulkan kemaslahatan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan sedemikian dapat membantu pihak berkuasa agama negeri ataupun daerah menjalankan siasatan lanjut dengan kadar segera.

“Jangan tunggu pihak pejabat agama saja, kadi satu daerah seorang saja. Laporkan kepada kami, kalau kami tahu, insya-Allah, kita bertindak,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Multaqa Murabbi Ummah (MMU) peringkat negeri Kedah tahun 2022, di sini hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Idris mengulas mengenai pasangan penyampai yang aktif bersiaran langsung secara dalam talian di Facebook, iaitu dikenali sebagai DJ Wong dan DJ Sal berbaik semula selepas DJ Wong atau Noor Aziz Johari, 53, menceraikan isterinya DJ Sal, 43, dengan talak tiga menerusi siaran langsung FB pada April lepas.

Pada 19 Jun lepas, media (Harian Metro) melaporkan yang kemunculan secara langsung pasangan itu menerusi FB ‘Sal Bollywood’, menimbulkan pelbagai persoalan terutama pengikut serta peminat mereka berikutan beberapa kontroversi yang terpalit dalam hubungan mereka.

Kemunculan pasangan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat serta pengikut mereka, apabila ada yang gembira dengan hubungan kembali bertaut itu, malah terdapat juga yang mempersoalkan status suami isteri itu apabila DJ Sal diceraikan talak tiga melalui siaran langsung dalam FB.

Dalam laporan media itu, DJ Sal dipetik sebagai berkata yang beliau sudah merujuk isu talak itu kepada ahli keluarga sendiri serta golongan bijak pandai agama, yang kemudian memaklumkan apa dilafazkan suaminya tersebut sebelum ini tidak sah.

Ditanya sama ada pasangan itu mempermainkan agama, Idris berkata, berkemungkinan disebabkan kejahilan mereka, dan isu talak sememangnya tidak boleh diambil mudah oleh umat Islam dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Nak kata dia mempermainkan agama saya tak berani kata, mungkin kejahilan dia, dia anggap benda itu (isu talak) mainan biasa…mungkin dia jahil sebab itu kita harapkan pihak agama panggil dia kalau ini melibatkan soal nasab, soal keturunan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Idris berkata, pihaknya bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mewujudkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah pada Rabu lepas, yang fungsi jawatankuasa itu sebelum ini terhenti pada 2018, dalam usaha pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah.

“Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah yang baharu ini diketuai oleh Tan Sri Othman Mustapha, bekas ketua pengarah JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), seorang tokoh perkhidmatan awam yang berwibawa.

“11 ahli lagi adalah tokoh dalam perundangan Syariah, mereka telah diberikan tanggungjawab membuat kajian, cadangan dan syor kepada kerajaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah,” katanya. – Bernama