Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar bercakap pada sidang media selepas mengadakan sesi walkabout sempena Kempen Kesedaran Bebas Covid-19 & Publisiti Industri Perniagaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Masjid India, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi DAP, Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai membuat tuduhan melulu terhadap Menteri Wilayah Perseketuan, Tan Sri Annuar Musa jelas membuktikan budaya parti itu yang suka mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Ahli Parlimen Cheras itu menuduh sebanyak 42 buah plot tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah terjual sejak lapan bulan terakhir Annuar menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Terkejut dengan tuduhan tidak berasas itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, sememangnya Kok Wai tidak ubah seperti memperjudikan nasibnya dengan fakta tidak betul.

Kata Ahli Parlimen Segamat itu, bagi pemimpin yang sudah lama bergelumang dalam dunia politik untuk mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu sungguh menjengkelkan serta mengejutkan.

“Saya boleh berikan pengesahan kepada anda, tidak ada apa-apa tanah DBKL terjual ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah seperti yang didakwa oleh Kok Wai ini.

“Apakah DAP ini memang kebal untuk keluarkan apa sahaja tuduhan serta kenyataan tanpa siasatan? Memang peliklah.

“Tindakan Kok Wai ini sebenarnya mencemarkan imej Menteri, kementerian juga DBKL. Ini fitnah dan tidak benar sama sekali. Saya gesa Kok Wai untuk segera tampil berikan fakta serta bukti tentang dakwaan ini atau mohon maaf secara terbuka dengan segera,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Tan Kok Wai

Semalam Malaysiakini melaporkan Kok Wai bukan sahaja mendakwa 42 plot tanah telah terjual sebaliknya juga menyoal apakah status penjualan tanah-tanah ini.

Dakwa Kok Wai lagi, sejak Annuar memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan banyak tanah telah dijual kepada pihak swasta untuk dimajukan, dibangunkan sebagai projek perumahan dan campuran komersial.

Kok Wai mendakwa daripada 42 plot tanah tersebut, empat daripadanya adalah dari kawasan Parlimennya.

Santhara turut mencabar Kok Wai terus membuat laporan kepada Suruhanhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seandainya mempunyai segala macam bukti bagi membuktikan semua dakwaan tersebut.

“Sepatutnya sebagai seorang wakil rakyat veteran seperti anda yang cukup arif pastinya tahu selok belok bagaimana mahu tangani isu seperti ini, mengapa terus kepada media dan bukannya SPRM?

“Tolong buat laporan dengan kadar segera kepada SPRM untuk buktikan semua dakwaan serta pandangan anda,” ujarnya.

Dalam pada itu Santhara turut memberikan kata dua kepada Kok Wai untuk segera memohon maaf seandainya tidak dapat memberikan bukti dakwaan beliau.

“Jika beliau gagal mengemukakan sebarang bukti, tidak memohon maaf maka bersedialah untuk tindakan seterusnya seperti laporan polis serta proses perundangan. Jangan sesuka hati keluarkan kenyataan tidak profesional seperti ini,” tegasnya.

Santhara turut meminta Kok Wai menjelaskan maksud ‘over developement’ atau terlalu banyak pembangunan dilakukan oleh Annuar mahupun kementeriannya.

“Apa pula yang berlaku di Pulau Pinang, tidak banyak pembangunan di negeri DAP itu, sekadar hendak bertanya,” ujar Santhara. -MalaysiaGazette