Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis serta empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah ditamatkan esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira tiada kes positif baharu di kawasan tersebut.

Tambahan pula, kesemua penduduk di kawasan yang terlibat telah menjalani ujian saringan Covid-19.

“Terdapat beberapa kes positif dilaporkan di empat daerah di Kedah yang melibatkan Kluster Tawar.

“Pihak KKM telah memutuskan bahawa TEMCO tidak perlu dikenakan kerana kawalan secara kumpulan bersasar masih boleh memastikan jangkitan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan TEMCO di empat kawasan di Kedah iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap ekoran penularan Covid-19 yang berpunca daripada Kluster PUI Sivagangga.