Home Utama Tian Chua, Dr Streram boleh buat petisyen

Tian Chua, Dr Streram boleh buat petisyen

Mohd Hashim Abdullah

PUTRAJAYA – Tian Chua boleh memfailkan petisyen kepada mahkamah untuk memutuskan tentang kelayakannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, keputusan pembatalan pencalonan Tian Chua itu dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain.

“Biarkan dia dibawa ke mahkamah dan mahkamah yang putuskan. Kami akan mematuhi keputusan mahkamah,” kata Mohd Hashim.

Beliau berkata, adalah terlalu awal untuk menyatakan Tian Chua akan kehilangan kelayakan sepenuhnya daripada bertanding dalam PRU14.

Tian Chua telah hilang kelayakan daripada bertanding kerusi Parlimen Batu atas alasan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mengulas calon PKR, Dr Streram Sinnasamy yang tidak dibenarkan masuk ke Dewan Sri Rembau untuk mengemukakan kertas pencalonannya, Mohd Hashim berkata, beliau sedang menunggu laporan itu.

Mohd Hashim berkata, beliau perlu mendapatkan laporan daripada pegawai pengurus yang bertugas terlebih dahulu sebelum mengulas.

“Jika mereka tidak berpuas hati, mereka juga boleh mengemukakan petisyen,” katanya.

Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan kerana beliau tidak mempunyai pas calon yang dikeluarkan oleh SPR.

Pencadang dan penyokongnya juga tidak dibenarkan masuk kerana tidak ada pas tersebut.

Mohd Hashim berkata, secara keseluruhan, 11 orang calon telah hilang kelayakan daripada bertanding kerana pelbagai sebab.

Tambahnya, SPR mengemukakan sebanyak 1,984 kertas pencalonan sehingga pukul 10 pagi tadi, tidak termasuk Sabah. – MalaysiaGazette