Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beramah mesra bersama para peserta pada Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA- Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Top Glove Corp Bhd. sekiranya ada laporan terhadap tuduhan yang mengatakan syarikat pengeluar sarung getah terbesar itu menindas dan memberikan layanan buruk kepada pekerja asingnya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Britain berhak untuk melakukan siasatan terhadap Top Glove selepas  pendedahan mengenai skandal berkenaan.

“Mereka ada hak untuk menyiasat. Sekiranya mereka ada menemui sesuatu yang tidak elok dan melaporkan kepada pihak berkuasa, kami akan mengambil tindakan terhadap Top Glove,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di sini hari ini.

Sebelum ini, Thomson Reuters Foundation mendedahkan bekalan stok sarung tangan getah perubatan yang dikeluarkan oleh Top Glove untuk sektor perkhidmatan kesihatan Britain terjejas akibat layanan buruk pekerja asing syarikat tersebut.

Ketika diminta untuk mengulas perkara tersebut, Top Glove telah menafikan pelanggaran hak pekerja dan menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasaas.

Jelasnya, syarikat itu sentiasa patuh kepada undang-undang buruh tempatan dan pernah memenangi pelbagai anugerah sumber manusia.

Sahamnya jatuh ketika dagangan awal hari ini susulan berita tersebut.

Saham pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu susut 5.93 peratus, atau 33 sen kepada RM5.57 dengan 1.2 juta saham bertukar tangan.- MalaysiaGazette