P.Prabakaran
P. Prabakaran

KUALA LUMPUR – Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan parkir kereta di Jalan Ipoh di sini, bagi membantu siasatan kes kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, yang didakwa dibaling telur, dua hari lepas (Jumaat).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata setakat ini, pihaknya tiada sebarang maklumat lanjut berhubung insiden itu.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya menghubungi polis.

“Hasil siasatan mendapati kawasan parkir itu memang tiada (CCTV), kita akan cuba di kawasan berdekatannya (teliti rakaman CCTV),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perkahwinan Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Semalam, media melaporkan, Prabakaran hanya menyedari kejadian itu pada 12.45 tengah malam Jumaat selepas bertemu tiga kenalan beliau di sebuah restoran di Jalan Ipoh di sini.

MPV Toyota Vellfire itu diletakkan di kawasan parkir kereta di hadapan restoran berkenaan semasa kejadian.

— BERNAMA

Selepas didesak letak jawatan, kereta Prabakaran di baling telur pula