Suasana sekitar persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 10 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Baki tunai Kumpulan Felda susut daripada RM2.4 bilion pada tahun 2007 kepada RM0.4 bilion pada tahun 2017.

Ia merupakan penyusutan lebih daripada lima kali ganda, menurut Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Sebelum Tawaran Awam Permulaan (IPO) FGV, prestasi kewangan Kumpulan Felda kukuh dengan purata baki tunai berjumlah RM2.5 bilion setahun.

Walau bagaimanapun kedudukan tunai merosot secara mendadak berikutan kehilangan pendapatan daripada aktiviti
perladangan serta pulangan rendah daripada hasil pelaburan.

Kaedah atau strategi yang digunakan tidak menjamin kelestarian Felda dan jika diteruskan bermakna agensi ini akan membuat pinjaman secara berterusan bagi menampung perbelanjaan.

Apabila institusi perbankan mengambil keputusan untuk tidak terus memberi pinjaman, Felda tidak akan mampu lagi meneruskan operasinya.

Menurut kertas itu, isu defisit aliran tunai bagi operasi juga telah dibangkitkan dalam laporan audit Jabatan Audit Negara sejak tahun 2016.

Kini, Kumpulan Felda didapati tidak mempunyai keupayaan untuk membayar komitmen kewangan semasa. – MalaysiaGazette