Prof Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak perlu membazir masa dan wang untuk melakukan kajian menyeluruh bagi mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ini kerana, secara terang-terangan UEC bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Ahli akademik, Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong berkata, UEC bukan sekadar isu bangsa, bahasa dan pendidikan sebaliknya ia adalah mengenai negara.

“Dalam Perlembagaan sudah jelas, mengapa perlu dikaji lagi. Kalau sudah bertentangan maka ianya salah jika dilakukan. Jangan buang masa.

“Saya pasti kalau dibuat kajian pun, tidak kiralah berapa lama, keburukan pasti lebih banyak daripada kebaikan,” katanya kepada MalaysiaGazette

Teo berkata, tanpa kajian yang menyeluruh pun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dapat melihat maklum balas rakyat berhubung pengiktirafan UEC.

Kaum Melayu secara terang-terangan menolak UEC kerana ia dianggap bertentangan dengan Perlembagaan, bahasa dan keistimewaan orang Melayu.

Manakala kaum Cina pula memberi sokongan.

“Tidakkah kerajaan nampak situasi ini sebagai sesuatu yang rumit dan jika ia tidak ditangani dengan baik ia boleh menimbulkan kesan yang lebih buruk.

“Memanglah UEC ini adalah isu pendidikan tetapi apabila ia bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara (Perlembagaan), kemudian dipolitikkan, saya bimbang ia akan mencetuskan isu perkauman. Ini lebih parah.

“Mengapa kita perlu bertelagah hingga boleh menimbulkan kebencian antara kaum, memecah-belah perpaduan yang kita bina dan pertahan selama ini untuk sesuatu yang bukan keperluan?

“Berbaloikah kerajaan bersungguh-sungguh mahu memberi pengiktirafan UEC, andainya perpaduan antara kaum dijadikan pertaruhan, fikir-fikirlah,” kata Teo lagi.

Semalam Maszlee berkata, UEC tidak akan diiktiraf secara terburu-buru, sebaliknya mungkin mengambil masa sehingga lima tahun akan datang selepas melalui proses kajian secara menyeluruh.

Kata Menteri Pendidikan itu lagi, pengiktirafan UEC sebenarnya bukan sebahagian daripada janji manifesto 100 hari yang memerlukan pelaksanaan dalam masa terdekat.

Teo yakin Perdana Menteri sudah dapat melihat implikasi terhadap isu UEC, lantaran itu beliau menyatakan janji manifesto bukan kitab yang wajib dipenuhi.

“Pada saya, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad ini terpakai untuk perkara-perkara yang boleh menjejaskaan kestabilan negara dan saya berharap pemimpin-pemimpin kerajaan memahaminya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette