Kenaikan gaji dibuat berdasarkan prestasi pekerja.

KUALA LUMPUR – UEM Edgenta Berhad menyangkal dakwaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) bahawa syarikat itu tidak menjaga kebajikan pekerja.

Jurucakap syarikat itu dalam kenyataan balasnya berkata, kenaikan gaji kepada semua pekerjanya termasuk pembantu rumah dan pekerja pembersihan dibuat berdasarkan prestasi kerja.

Katanya, daripada 2,018 pekerja melibatkan pembantu rumah dan pembersih yang disahkan dalam perkhidmatannya pada 31 Disember 2020 tahun lalu, 86 peratus telah diberikan kenaikan antara RM30 hingga RM100.

“Kenaikan kepada 86 peratus itu dibuat berdasarkan prestasi kerja mereka, manakala bakinya 14 peratus tidak dinaikan gaji kerana mereka gagal memenuhi standard prestasi minimum dan atau telah dikenakan tindakan pengurusan akibat masalah disiplin.

“Jika kami mendengar tuntutan daripada pekerja yang tidak layak mendapat kenaikan, ini bukan sahaja melanggar prinsip syarikat, malah kami berlaku tidak adil kepada pekerja yang memenuhi prestasi kerja,” katanya.

UEM Edgenta Berhad berkata demikian menjawab kenyataan Setiausaha Eksekutif KPSPSHKSM, M. Sarasvathy yang dilaporkan memimpin sekumpulan 40 pekerja kontrak pembersihan kontrak ditugaskan bekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh, semalam.

Laporan itu turut mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, yang mengeluarkan kenyataan, percaya kerajaan baharu Keluarga Malaysia tidak akan mengabaikan nasib mereka dan membantu untuk mendapatkan situasi menang-menang.

Mengulas lanjut perkara itu, jurucakap syarikat berkenaan menjelaskan, pihaknya sentiasa menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan positif untuk pekerjanya.

Katanya, ia selaras usaha syarikat meningkatkan pengembangan pekerja, termasuk menumpukan program peningkatan kemahiran bagi membantu mereka mencapai sasaran sebagai pekerja yang baik.

“Pekerja yang mencapai prestasi baik dalam tugas seharian akan melayakkan mereka mendapat penghargaan dan pengiktirafan syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zahid simpati pekerja kontrak piket tuntut kenaikan gaji RM30