Naib Canselor, Prof Dr Mohd Foad Sakdan melawat tapak Istana Kucing berhampiran Inapan Siswa (Inasis) Petronas.

KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membina istana kucing berhampiran Inapan Siswa (Inasis) Petronas untuk mengelak haiwan tersebut berkeliaran dalam kampus dan tidak terurus dengan baik.

Pembinaan istana kucing itu dibuat atas tanda prihatin UUM terhadap kucing-kucing terbiar di dalam kampus.

Naib Canselor, Prof Dr Mohd Foad Sakdan telah mengadakan lawatan ke tapak berkenaan.

Turut serta Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UUM; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Maradha Mohamed; dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman, semalam.

“Saya yakin pembinaan Istana Kucing ini akan menjadi salah satu daya tarikan kepada UUM seperti Taman Rusa, Taman Burung Unta dan Taman Arnab dalam kampus.

“Dalam masa sama, kita dapat menjaga kebajikan kucing berkenaan yang bilangannya agak besar dalam kampus,” kata Dr Mohd Foad.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan kematian beberapa ekor kucing di sekitar kampus UUM dipercayai diracun.

Artikel berkaitan: Beberapa ekor kucing mati di UUM dipercayai diracun 

Keadian tersebut menarik perhatian penuntut universiti tersebut yang turut terkesan apabila melihat kucing-kucing tersebut mati serentak.

Pihak Jabatan Keselamatan UUM sedang menyiasat punca kematian sama ada diracun secara sengaja atau mati kerana sebab lain. – MalaysiaGazette